Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Petronas taja RM28 juta untuk lebih 100 pelajar cemerlang Sarawak
  • PENDIDIKAN

Petronas taja RM28 juta untuk lebih 100 pelajar cemerlang Sarawak

Utusan Sarawak 16 hours ago
ALBUM…Rakaman gambar kenangan bersama penerima tajaan pendidikan Petronas Powering Knowledge di Hotel Sheraton, di sini, hari ini.
 

KUCHING: Seramai lebih 100 pelajar cemerlang Sarawak menerima tajaan pendidikan berjumlah RM28 juta daripada Petronas menerusi Program Tajaan Pendidikan Powering Knowledge.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Awal dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah, program itu membuktikan komitmen Petronas dalam melahirkan bakat berkualiti di negeri ini.

“Kejayaan para pelajar ini adalah hasil daripada usaha gigih mereka sendiri serta sokongan ibu bapa, guru dan mentor sepanjang perjalanan mereka.

“Kita amat menghargai komitmen berterusan Petronas dalam membangunkan anak Sarawak menerusi pelaburan bermakna dalam bidang pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Penyampaian Anugerah Tajaan Pendidikan Petronas Powering Knowledge mewakili Premier Sarawak di Hotel Sheraton di sini, hari ini.

Tambah beliau, tumpuan kerajaan negeri kini adalah memastikan setiap anak Sarawak mendapat peluang pendidikan yang menyeluruh dan setara.

“Usaha ini selari dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID 2030 (PCDS 2030) yang menyasarkan negeri ini menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Pendidikan dari peringkat awal hingga tinggi, termasuk laluan teknikal dan vokasional, adalah keutamaan kita dalam membangunkan modal insan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan program tersebut bukan sekadar sumbangan kewangan semata-mata.

“Ia adalah platform penting untuk membentuk generasi masa depan yang mampu menyumbang kepada kemajuan negeri dan negara.

“Kita mahu mereka kembali dan menyumbang kepada pembangunan Sarawak dalam pelbagai sektor,” ujarnya.

Untuk rekod, Petronas menerima lebih 9,000 permohonan tahun ini, namun hanya pelajar yang benar-benar cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan kepimpinan terpilih menerima tajaan.

Penerima tajaan akan melanjutkan pengajian dalam bidang seperti kejuruteraan kimia, petroleum, ekonomi dan undang-undang di universiti terkemuka tempatan dan luar negara termasuk di United Kingdom dan Australia.

Sejak diperkenalkan pada 1975, Program Tajaan Pendidikan Petronas (PESP) telah memberi manfaat kepada lebih 40,000 pelajar di seluruh negara dan lebih 1,300 pelajar Sarawak telah menerima tajaan tersebut sejak 2003.

Turut hadir Pengurus Besar Kanan (Kepakaran Modal Insan), Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas, Akmal Niza Ahmad.

Oleh Masrin Affirah

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: KKSRCS buka peluang pelajar sekolah teroka dunia TVET
Next: HIP perkasa penggunaan Bahasa Inggeris murid luar bandar di Krian

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.