
KUCHING: Impian dua anak muda Sarawak untuk mengubah masa depan mereka dan keluarga kini semakin cerah apabila mereka di antara yang terpilih sebagai penerima Penajaan Pendidikan PETRONAS 2025.
Bagi Ellysha Cassandra Pira, 18, dari Miri, pelajar lepasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lutong, berita gembira yang diterima bukan sahaja menjadi detik kejayaan peribadi, tetapi juga satu penghargaan buat keluarga yang menjadi tulang belakang kejayaannya.

“Saya sangat bangga dengan warisan Iban saya. Sebagai anak bongsu daripada lima beradik dan satu-satunya perempuan, saya dididik untuk berusaha keras, berdikari dan tidak mudah mengalah,” ujar Ellysha, yang bakal melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan kimia di luar negara.
Minatnya terhadap bidang tersebut lahir daripada kecintaannya terhadap sains, matematik dan isu kelestarian alam sekitar.
Ellysha pernah memohon beberapa biasiswa lain sebelum ini sebagai sebahagian daripada usahanya untuk melanjutkan pelajaran. Walaupun belum berjaya pada ketika itu, ia tidak memadamkan semangat Ellysha. Setiap cabaran yang dihadapi dijadikan motivasi dan batu loncatan untuk terus mencuba.
“Saya menangis bila dapat tahu saya berjaya. Akhirnya saya percaya, usaha saya selama ini tak sia-sia,” katanya, sebak.
Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang dari Sibu, iaitu Florina Androsan, turut menyifatkan pemilihannya sebagai penerima Penajaan Pendidikan PETRONAS sebagai satu rahmat buat diri dan keluarganya.

“Saya merupakan anak bongsu daripada empat orang adik-beradik. Ibu saya adalah seorang ibu tunggal yang membesarkan kami sendirian. Dahulu, kami menghadapi kesukaran untuk membayar yuran sekolah, namun saya sentiasa percaya bahawa pendidikan merupakan satu-satunya jalan untuk mengubah masa depan keluarga kami.
“Saya merupakan pelajar lepasan SMK St. Elizabeth, Sibu dan telah memperoleh 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024. Saya memilih untuk melanjutkan pengajian dalam Ijazah Ekonomi di Universiti Malaya (UM) dengan cita-cita untuk menjadi seorang ahli ekonomi yang dapat menyumbang kepada kemajuan negara.
“Ramai bekas pelajar dari sekolah saya pernah menerima Penajaan Pendidikan PETRONAS dan kejayaan mereka menjadi inspirasi buat saya. Sokongan dan dorongan yang saya terima sepanjang perjalanan ini sangat bermakna. Jadi, apabila saya sendiri terpilih, saya anggap ini sebagai peluang keemasan untuk mengubah diri dan nasib keluarga,” katanya.
Florina mengakui perjalanan untuk mencapai impian ini bukanlah mudah, namun keyakinannya kepada diri sendiri dan sokongan guru-guru membuatkan beliau terus berusaha tanpa mengenal penat lelah.
“Saya pernah menonton video pelajar senior yang menerima anugerah semasa Majlis Penyampaian Anugerah dahulu, dan dalam hati saya berkata, ‘Suatu hari nanti, saya ingin menjadi seperti mereka.’ Sekarang, impian itu akhirnya menjadi kenyataan,” katanya lagi.
“Ia bukan sekadar tajaan, tetapi menjadi tiket kepada pelajar luar bandar dan dari latar belakang sederhana untuk membina masa depan yang lebih cerah,” katanya sambil tersenyum.
Kisah Ellysha dan Florina merupakan antara ratusan naratif kejayaan anak-anak Sarawak yang diberi peluang oleh PETRONAS yang bukan sahaja melanjutkan pelajaran, malah berkembang sebagai insan holistik yang bersedia untuk memimpin dan menyumbang kepada masa depan negara.
Seperti kata Ellysha, “Jangan takut untuk mengambil risiko. Rasa tidak selesa itu biasa dalam proses berkembang untuk berjaya. Tapi jika kita berani, dunia ini penuh dengan peluang.”
Bagi Florina, “Percayalah pada diri sendiri. Jangan pernah rasa rendah diri. Jika saya boleh, kamu pun boleh.”
Kisah mereka membuktikan bahawa asal-usul bukan penghalang untuk bermimpi besar. Dengan usaha, keberanian dan keyakinan diri, tiada apa yang mustahil.
Sejak 1975, PETRONAS telah menaja seramai 40,000 pelajar berbakat di Malaysia, termasuk bakat dari Sabah dan Sarawak, yang mencerminkan komitmen syarikat itu dalam membangunkan dan memperkasa generasi pemimpin masa hadapan.
Oleh Masrin Affirah