KUCHING: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menggalakkan PETRONAS untuk terus bekerjasama rapat dengan PETROS bagi merealisasikan hasrat seperti yang terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kedua-dua syarikat tersebut baru-baru ini.
Baru-baru ini, PETRONAS dan PETROS telah menandatangani MoU pembekalan sehingga 1,200 mmscf/d gas asli, dan menandatangani perjanjian kedua antara PDB (Petronas Dagangan Bhd) dan PETROSNiaga untuk usaha niaga LPG Sarawak pada Disember tahun lalu.
Semua itu katanya, menunjukkan kerjasama yang dipertingkatkan antara PETRONAS dan Sarawak menerusi PETROS.
“Selain itu, membangunkan struktur komersil, harga gas yang kompetitif yang akan menggalakkan dan menarik pelaburan selanjutnya di Sarawak untuk kedua-dua huluan dan hiliran serta sektor perindustrian,” katanya.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan dan Menteri II Pembangunan Bandar dan Sumber Asli berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Kepimpinan tertinggi Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) diketuai Pengerusi Tan Sri Dato’ Seri Mohd Bakke Salleh dan Datuk Tengku Muhammad Taufik, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan di sini semalam.
Pada kunjungan tersebut Awang Tengah turut mengambil peluang untuk membuat susulan dan membincangkan beberapa perkara penting berkaitan pelaksanaan inisiatif yang digariskan dalam Perjanjian Penyelesaian Komersial.
Inisiatif tersebut ditandatangani antara kerajaan Sarawak dan PETRONAS pada 7 Disember 2020, yang menyediakan rangka kerja untuk penyertaan lebih besar Sarawak melalui Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dalam industri minyak dan gas di negeri ini dalam kedua-dua sektor huluan dan hiliran.
Kerajaan Sarawak dan PETRONAS mengiktiraf kerjasama yang lebih baik dan hubungan kerja yang dipertingkatkan.
Turut hadir Setiausaha Kewangan Negeri Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Peguam Undang-undang Negeri Dato Sri Fong Joo Chung, Timbalan Peguam Negara Negeri Safri Ali, Pemangku Setiausaha Tetap Dzulkornain Masron, Pegawai Fungsi Khas Datu Liaw Soon Eng, Naib Presiden Portfolio & Perancangan – PETROS Abang Arabi Abang Narudin dan pegawai kanan lain dari PETRONAS dan Kerajaan Sarawak.
Oleh JEAKQLEYN YACHO