Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Petronas, Petros beroperasi berdasarkan bidang kuasa, fungsi  berbeza
  • SEMASA

Petronas, Petros beroperasi berdasarkan bidang kuasa, fungsi  berbeza

Utusan Sarawak 2 days ago
Dato Ahmad Ibrahim

KUCHING: Senator Dewan Negara, Dato Ahmad Ibrahim menegaskan bahawa kes Shell MDS yang baru-baru ini diputuskan Mahkamah Rayuan tidak boleh dilihat sebagai isu ‘bayaran berganda’ antara Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

Beliau berkata, hakikat sebenar ialah kedua-dua entiti tersebut beroperasi berdasarkan bidang kuasa dan fungsi yang berbeza.

Petronas katanya, beroperasi di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA74) bagi obligasi eksport, manakala Petros sebagai pengagregat gas domestik Sarawak melalui Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO1958) dan Ordinan Pengedaran Gas 2016 (DGO2016, pindaan 2023).

“Saya mengesyaki Shell, mungkin keliru dua isu ini. Saya tiada salinan perjanjian atau kontrak yang ditandatangani antara dua pihak. Tetapi ada kemungkinan inilah isunya.

“Petros ialah pengagregat tunggal untuk bekalan gas domestik di Sarawak, termasuk kepada Sarawak Energy, projek metanol Sarawak Petchem dan kawasan industri seperti Samalaju.

“Petronas pula kekal sebagai penjaga obligasi eksport — membekalkan gas untuk kontrak LNG jangka panjang ke Jepun, Korea, China, serta bekalan kepada kemudahan Shell MDS untuk produk eksport,” katanya dalam kenyataan media.

Isnin lalu Mahkamah Rayuan, di Putrajaya memerintahkan Shell MDS (Malaysia) Sdn Bhd membuat pembayaran berhubung pembekalan gas kepada Petronas dianggarkan melebihi RM500 juta.

Ia berikutan syarikat minyak nasional itu berjaya mengetepikan injunksi sementara yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi, supaya ia terus membekalkan gas kepada Shell MDS di fasiliti Bintulu, Sarawak, tanpa menerima sebarang bayaran sejak Ogos lalu.

Tindakan tidak membuat pembayaran oleh Shell MDS timbul disebabkan dakwaan adanya dua invois, iaitu daripada Petronas dan Petros menyebabkan kebimbangan Shell MDS terhadap kemungkinan perlu membuat bayaran berganda, sementara isu bidang kuasa antara Petronas dan Petros sedang diselesaikan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Azimah Omar sebulat suara membenarkan rayuan Petronas untuk mengetepikan injunksi berkenaan dan memerintahkan jumlah itu dibayar dalam tempoh 14 hari, iaitu bagi bayaran sejak Ogos tahun lalu.

Menurut Ahmad lagi, dalam kes Shell MDS, syarikat itu sebenarnya menandatangani dua perjanjian jual beli gas (GSA) berbeza, satu bersama Petronas pada 2020 untuk kegunaan eksport, dan satu lagi bersama Petros pada 2024 selepas pindaan undang-undang negeri memberikan Petros kuasa aggregator.

Beliau menjelaskan, Petronas menghantar invois untuk gas feedstock yang digunakan bagi pengeluaran berorientasikan eksport, manakala Petros mengeluarkan invois untuk bekalan domestik.

“Shell mendakwa berlaku ‘double invoicing’ (invois berganda) tetapi hakikatnya terdapat dua kontrak, dua tujuan dan dua bidang kuasa berbeza. 

“Mahkamah Rayuan telah jelas dalam keputusannya bahawa Petronas berhak menerima bayaran kerana ia telah menunaikan penghantaran gas di bawah GSA 2020,” katanya.

Ahmad berkata isu yang dibangkitkan oleh Shell lebih kepada “salah persembahan” apabila cuba menggambarkan seolah-olah kedua-dua pihak menuntut bayaran untuk gas yang sama.

“Inilah sebabnya naratif bayaran berganda itu mengelirukan. Realitinya, Petros dan Petronas masing-masing menuntut mengikut kontrak sah mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa penyelesaian sebenar adalah memastikan kedua-dua kontrak dihormati dan invois dipisahkan dengan jelas antara tujuan domestik dan eksport.

Ahmad turut merujuk kepada Deklarasi Bersama 2025 antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak, Petronas dan Petros sebagai asas penting bagi keharmonian masa depan.

“Petros mengurus gas domestik Sarawak, Petronas mengurus obligasi eksport negara. Kedua-duanya boleh wujud bersama tanpa pertindihan, selagi kontrak dipatuhi dan peranan masing-masing dihormati,” tegas beliau.

Katanya, kes Shell MDS ini bukanlah konflik langsung antara Petros dan Petronas tetapi isu peralihan yang diputar belit oleh syarikat terbabit.

“Ringkasnya, Petros invois untuk gas domestik, Petronas invois untuk eksport. Shell silap apabila cuba mencampurkan dua tanggungjawab ini,” jelas Ahmad.

Oleh SHAHRUL QAIZAT 

Continue Reading

Previous: Tun Wan Junaidi terima kunjungan hormat delegasi Majlis Pengakap Sarawak
Next: Tun Wan Junaidi, Toh Puan Fauziah terima kunjungan perpisahan Pesuruhjaya Polis Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.