
MARUDI: Seramai 200 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telang Usan dan SMK Marudi menyertai program Petronas Memperkasakan Ilmu: Discover Petronas @ School Baram yang berlangsung di Dewan SMK Telang Usan, hari ini.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Petronas untuk mempromosikan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar serta menyemarakkan minat mereka terhadap kerjaya dalam industri minyak, gas dan tenaga.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala.
Menurut beliau, inisiatif seperti ini amat penting dalam usaha melahirkan masyarakat celik STEM serta membekalkan tenaga kerja mahir yang mampu menyumbang kepada inovasi dan pembangunan negara.
“Pendidikan STEM bukan sahaja memperkukuh kebolehan pelajar dalam bidang sains dan teknologi, malah mampu mencorak masa depan mereka sebagai tenaga profesional yang berdaya saing,” katanya.
Gerawat turut menyatakan bahawa program ini selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025 yang menekankan pengukuhan pendidikan STEM di peringkat sekolah melalui pelbagai aktiviti berasaskan pengalaman sebenar.
Dalam program tersebut, para pelajar turut berpeluang berinteraksi secara langsung dengan kakitangan Petronas dari pelbagai latar belakang kerjaya, termasuk bidang teknikal dan bukan teknikal.
“Perkongsian pengalaman oleh warga kerja Petronas diharap dapat memberikan inspirasi serta dorongan kepada para pelajar untuk merancang masa depan mereka dengan lebih jelas dan yakin,” tambahnya.
Beliau turut berharap agar Petronas terus memainkan peranan sebagai entiti korporat yang bertanggungjawab, menyumbang secara berterusan ke arah pembangunan sosioekonomi Sarawak dan kesejahteraan masyarakat yang mampan.
“Kerjasama erat antara kerajaan, Petronas dan pihak berkepentingan lain amat penting dalam membina visi bersama demi mengekalkan kemakmuran dan kelestarian negara untuk generasi masa depan,” ujarnya.
Beliau turut menyuarakan harapan agar program seperti ini diperluaskan ke lebih banyak sekolah di masa akan datang bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar luar bandar.
Turut hadir Pengurus Besar Kanan Petronas, Khairuddin M Jaafar, Pengurus Besar Petronas Sarawak, Norazibah Md Rabu, Pengurus Besar Pelaburan Modal Insan Petronas, Ahmad Munir Akram Ahmad Faiz, wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Haji Zamzatul Akmal Hisham Ahmad serta Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Marudi, Vanessa Joseph yang mewakili Residen Bahagian Miri.
Oleh Jiku Juguong