Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Petronas, MISC memeterai perjanjian 20 tahun sewa lima kapal LNG
  • NASIONAL

Petronas, MISC memeterai perjanjian 20 tahun sewa lima kapal LNG

Utusan Sarawak 5 hours ago
PETRONAS meterai kerjasama 20 tahun dengan MISC bagi pengoperasian lima kapal LNG generasi baharu.

KUALA LUMPUR: Petronas LNG Ltd (PLL) memeterai perjanjian carter atau sewa khas selama 20 tahun dengan MISC Group bagi lima kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) baharu berkapasiti 174,000 meter padu.

Usaha itu sekali gus memperkukuh kebolehpercayaan bekalan LNG bagi jangka panjang selain menyokong peralihan tenaga pelanggan ke arah masa depan berkarbon rendah.

Dalam kenyataan hari ini, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memaklumkan perjanjian itu telah dimeterai baru-baru ini oleh Ketua Pegawai Eksekutif PLL Ezran Mahadzir manakala MISC diwakili oleh Naib Presiden Aset Gas dan Penyelesaian, Hazrin Hasan.

“Ini susulan daripada pemeteraian kontrak pembinaan kapal antara MISC dan Hudong-Zhonghua Shipbuilding (Group) Co Ltd pada Januari dan Februari 2026.

“Kapal pengangkut canggih ini akan dibina di Shanghai, China dengan jangkaan permulaan sewa khas pada 2029 hingga 2030,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim Petroliam Nasional Bhd, Datuk Adif Zulkifli menyifatkan penambahan kapal pengangkut LNG baharu itu sebagai satu lagi pencapaian penting ketika syarikat terus memanfaatkan kekuatan kolektif perniagaannya untuk mewujudkan nilai jangka panjang yang merentasi rantaian nilai LNG.

“Menerusi langkah menyelaraskan aspirasi pertumbuhan syarikat bersama kepakaran maritim MISC, kami memperkukuh keupayaan bersepadu yang menyokong kedudukan Petronas sebagai pembekal LNG global yang diyakini,” katanya.

Petronas memaklumkan kapal berkenaan akan dilengkapi dengan teknologi moden yang dipacu oleh kecekapan selaras dengan standard alam sekitar dan operasi yang berkembang pesat.

Ini termasuk teknologi rejangan jet terkini XDF2.1, generator syaf yang meningkatkan kecekapan bahan api ketika tempoh pelayaran serta kemudahan pencairan semula bagi menguruskan proses berkaitan secara cekap.

“MISC akan menyediakan perkhidmatan pengurusan projek sepanjang tempoh pembinaan kapal itu yang disusuli dengan pengoperasian dan pengurusan kapal sejurus penghantaran bermula 2029.

“Pendekatan bersepadu ini bagi memastikan kesinambungan serta kebolehpercayaan operasi lebih tinggi daripada peringkat pembinaan hingga operasi komersial dengan memanfaatkan pengalaman luas MISC dalam pengurusan kapal LNG,” menurutnya.

Petronas turut memaklumkan kerjasama itu turut mencerminkan tumpuan berterusan syarikat dalam memperkukuh daya tahan dan kebolehpercayaan rantaian bekalan LNG menerusi perkongsian strategik selain menyumbang kepada pembangunan keupayaan tenaga serta maritim Malaysia.- Bernama

Continue Reading

Previous: MTEN gesa PBT, kerajaan negeri kurangkan sewa premis serta-merta
Next: Empat dekad menabur bakti, Azam Baki tinggalkan legasi perangi rasuah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.