
KUALA LUMPUR: Anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Petronas Suriname E&P BV telah memeterai kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) dengan Staatsolie Maatschappij Suriname NV dan subsidiari milik penuhnya, Paradise Oil Company NV (POC) untuk Blok 66 Suriname.
PSC itu merangkumi komitmen yang kukuh untuk menggerudi dua telaga eksplorasi, mensasarkan prospek siap sedia penggerudian yang menawarkan potensi sumber yang signifikan dan kedudukan strategik bagi membuka kunci sinergi dengan operasi sedia ada Petronas di Suriname.
Upacara pemeteraian itu berlangsung semasa sidang kemuncak serta pameran minyak dan gas Suriname, dengan Petronas diwakili oleh Naib Presiden Aset Antarabangsanya (Huluan) Mohd Redhani Abdul Rahman, manakala Staatsolie Maatschappij Suriname diwakili oleh Pengarah Urusan, Annand Jagesar dan POC oleh Pengarahnya, Rekha Bissumbhar.
Penerokaan laut dalam itu melibatkan kawasan seluas 3,390 kilometer persegi, terletak bersebelahan dengan Blok 52, yang mana Petronas masih meneroka dan membuka kunci potensi hidrokarbon di kawasan itu, kata Petronas melalui satu kenyataan.
Di bawah PSC, Petronas memegang hak pengendalian dengan kepentingan 80 peratus yang mengambil bahagian, sementara POC memegang baki 20 peratus.
Mohd Redhani berkata syarikat itu berharap perkongsian dengan Staatsolie akan membuka peluang tenaga baharu.
“Pengambilalihan ini menandakan langkah-langkah penting dalam basin hidrokarbon Suriname-Guyanayang, seiring dengan strateginya untuk membuka aset berpotensi dan bernilai tinggi selain menyampaikan nilai jangka panjang melalui perkongsian global dan inovasi laut dalam,” katanya.
Sementara itu, Petronas berkata perjanjian tersebut mencerminkan komitmennya terhadap pembangunan tenaga yang bertanggungjawab, dengan peruntukan yang akan menyokong penyertaan tenaga kerja tempatan dan pelaburan sosial yang mampan, ini sejajar dengan matlamat pembangunan negara Suriname.
“Penambahan terbaru ini membawa kepentingan luar pesisir Petronas di Suriname kepada enam blok, mengukuhkan kedudukannya di negara berkenaan berikutan empat penemuan setakat ini,” katanya.–Bernama