
KUALA LUMPUR: Petronas Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMMSB) bekerjasama dengan syarikat teknologi kenderaan elektrik, Blueshark Malaysia Sdn Bhd, untuk memperkukuh keyakinan pemilikan serta memperluas sokongan kepada penunggang individu dan pengendali kumpulan komersial.
Anak syarikat milik Petronas itu dan Blueshark menjelaskan sebanyak lima cawangan Petronas MotoExpert akan disepadukan untuk menyokong perkhidmatan selepas jualan bagi motosikal elektrik Blueshark dan SoloEra berdasarkan memorandum persefahaman (MoU) yang telah dimeterai.
Pada masa sama, pengembangan selanjutkan akan dirancangkan mengikut fasa, tambah kedua-dua pihak dalam kenyataan bersama pada Isnin.
Ketua Pegawai Eksekutif PLMMSB, Mohd Zameer Zahur Hussain berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama untuk menyediakan kemudahan yang lebih baik, sokongan perkhidmatan yang boleh dipercayai serta nilai tambah kepada pelanggan.
“Melalui cawangan Petronas MotoExpert, penunggang akan mendapat manfaat daripada akses lebih baik kepada perkhidmatan yang berkualiti seiring dengan keperluan mobiliti yang berkembang.
“Kami bersama-sama mahu menyediakan sokongan yang diyakini serta ketenangan minda kepada pelanggan di samping memperkukuh komitmen kami untuk menjadikan kehidupan harian lebih mudah dan lebih baik,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Menurut kenyataan bersama itu, kerjasama yang dibentuk tersebut menepati aspirasi PLMMSB dalam memajukan penyelesaian tenaga mampan justeru, usaha itu merupakan langkah praktikal untuk memperkukuh sinergi dalam keseluruhan ekosistem.
Kerjasama itu juga mencerminkan tumpuan bersama untuk meningkatkan kemudahan pelanggan, memperluas akses perkhidmatan, dan mewujudkan lebih banyak titik akses bagi mobiliti dua roda elektrik di seluruh Malaysia sejajar dengan landskap mobiliti yang semakin berkembang. – Bernama