
BINTULU: Petronas terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh agenda pembangunan modal insan di Sarawak menerusi pelaburan berterusan dalam sektor pendidikan, termasuk penglibatan strategik dalam penubuhan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bintulu.
Pengurus Besar Pengurusan Program, Tajaan Pendidikan dan Kecemerlangan TVET Pendidikan dan Pelaburan Modal Insan Kumpulan Petronas, Ahmad Munir Akram Ahmad Faiz berkata, pendidikan kekal sebagai teras utama pendekatan pembangunan bakat syarikat itu sejak lebih lima dekad lalu.
Menurut beliau, komitmen Petronas dalam bidang pendidikan dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi peringkat sekolah hingga ke universiti, sejajar dengan keperluan negara melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
“Sejak 1975, Petronas secara konsisten melaksanakan pelbagai inisiatif pendidikan bagi menyokong pembangunan modal insan negara.

“Usaha ini bukan hanya tertumpu kepada MRSM, malah merangkumi program lain yang bersifat jangka panjang dan berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Kali Pertama MRSM Bintulu 2025 yang berlangsung di Dewan Premier MRSM Bintulu di sini, hari ini.
Ahmad Munir berkata, pembinaan MRSM Bintulu hasil kerjasama Petronas bersama kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak serta Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah membuka peluang lebih luas kepada pelajar, khususnya di wilayah tengah Sarawak, untuk mendapatkan akses pendidikan berkualiti bertaraf nasional.
Menurutnya, penubuhan institusi berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar setempat, malah menyumbang kepada usaha jangka panjang melahirkan bakat muda berpotensi tinggi sebagai aset pembangunan negeri dan negara.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa graduan MRSM Bintulu agar meneruskan kecemerlangan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), yang dikenal pasti sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara pada masa hadapan.
Oleh Carolyne Utih