
KUALA LUMPUR: Petronas Gas Bhd (PGB) akan melaksanakan tarif disemak semula bagi pengangkutan gas dan perkhidmatan pengegasan semula di bawah Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) mulai 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2028 susulan kelulusan daripada kerajaan.
PGB menerusi makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata keputusan itu dimaklumkan melalui surat daripada Suruhanjaya Tenaga (EC), yang diterima oleh kumpulan tersebut pada 24 Disember 2025.
Tarif RP3 yang disemak semula itu terpakai kepada kemudahan di bawah PGB termasuk rangkaian saluran paip Penggunaan Gas Semenanjung (PGU), perkhidmatan pemampatan gas untuk bekalan gas bertekanan tinggi ke Singapura, serta Terminal Pengegasan Semula Sungai Udang (RGTSU) dan Terminal Pengegasan Semula Pengerang (RGTP).
Di bawah tarif asas RP3 yang diluluskan untuk tempoh dari 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2028, tarif pengangkutan PGU ditetapkan pada RM1.196 setiap gigajoule (GJ) sehari, manakala tarif mampatan untuk bekalan gas ke Singapura ialah RM1.609 setiap GJ sehari.
Tarif pengegasan semula bagi RGTSU telah ditetapkan pada RM3.542 setiap GJ sehari, manakala tarif pengegasan semula RGTP adalah pada RM3.142 setiap GJ sehari.
Bagi tahun pertama RP3, dari 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2026, tarif yang dibenarkan ialah RM1.204 setiap GJ sehari untuk pengangkutan PGU, RM1.592 setiap GJ sehari untuk perkhidmatan pemampatan ke Singapura, RM3.540 setiap GJ sehari untuk RGTSU, dan RM3.103 setiap GJ sehari untuk RGTP.
PGB berkata tarif yang disemak semula itu mencerminkan komitmen bersama antara kerajaan dan kumpulan tersebut untuk mendukung ketelusan, kecekapan kos dan daya tahan jangka panjang industri gas Malaysia, sambil mengekalkan tahap tarif yang kompetitif.
Tarif itu telah ditentukan mengikut rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) yang memastikan pengguna terus mendapat manfaat daripada bekalan gas yang terjamin.
Di bawah rangka kerja IBR, tarif untuk kemudahan gas disemak setiap tiga tahun oleh EC dan diluluskan oleh kerajaan.
“PGB terus kekal sebagai rakan tenaga yang dipercayai, berdedikasi untuk menyokong agenda peralihan dan pertumbuhan negara melalui pelaksanaan RP3 yang berjaya,” kata PGB.
Menurutnya, di bawah keperluan RP3, ia akan terus mengutamakan kebolehpercayaan dan ketersediaan infrastruktur pengangkutan gas dan pengegasan semula, selaras dengan tempoh kawal selia sebelumnya.
“Tarif RP3 yang diluluskan akan membolehkan segmen pengangkutan gas dan penggasan semula mengekalkan sumbangan positifnya kepada pendapatan PGB dan anak syarikat,” katanya.
-Bernama