BINTULU: “Saya sudah lama tidak menyambut Hari Gawai – dalam dua tahun- memandangkan saya tinggal seorang diri,” jelas warga emas, Sedi Kedit, 80 tahun, yang menghuni sebuah rumah usang di Batu 36, Jalan Bintulu-Miri.
Namun tahun ini, perayaan Gawai lebih bermakna untuk beliau. Baru-baru ini, beliau menerima bantuan berbentuk makanan daripada syarikat minyak dan gas negara PETRONAS.
Bantuan disalurkan oleh Yayasan PETRONAS melalui Program Sentuhan Kasih sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri, Kaamatan dan Gawai. Program ini telah meringankan beban ribuan keluarga yang berpendapatan rendah di seluruh negara sejak dilancarkan pada 2005.
Sedi antara 1,200 keluarga di Sarawak dan 5,000 keluarga di seluruh Malaysia yang menerima sumbangan daripada PETRONAS tahun ini.
“Saya bersyukur dan tersentuh dengan bantuan PETRONAS yang sekurang-kurangnya membawa keceriaan kepada saya pada musim perayaan Gawai ini,” ujar beliau sambil mengibas kipas kecil yang diperbuat daripada kotak terpakai dan dipotong kepada bentuk segi empat tepat.
Rumah beliau dikelilingi semak belukar. Dibina sejak lima tahun lalu, rumah kecil ini menjadi saksi bisu kehidupan seharian warga emas ini. Bahang cuaca panas terik begitu terasa di dalam rumah itu memandangkan haba dari atap zink menerobos langsung ke ruangan biliknya.
Dia yang mahu disapa sebagai ‘Indai Man’ berasal dari Nanga Awik Krian, Saratok, telah menetap di Bintulu lebih 20 tahun lalu. Pada awalnya, dia sekadar mengikut suami bekerja di ladang sebelum memutuskan untuk terus menetap di sini.
“Rumah saya tiada elektrik, oleh itu saya nekad untuk membeli penjana kuasa tenaga solar sejak dua tahun lepas yang digunakan untuk mengecas telefon bimbit serta kipas dan lampu. Namun, sekiranya cuaca mendung, ia hanya mampu menghidupkan lampu malam sahaja kerana itulah saya perlu menggantung kelambu agar tidak digigit nyamuk pada waktu malam,” terang Sedi dengan nada sayu.
Sedi turut bergantung sepenuhnya kepada air hujan untuk kegunaan seharian.
Atas segenap dugaan yang menimpa dirinya, Sedi seringkali hanya mampu mengelus dada seiring mentari beranjak tenggelam. Dengan segala kepedihan hidup dialaminya, dia tetap bersyukur masih mempunyai rumah untuk berteduh.
Pergerakan Sedi Kedit agak terbatas kerana penyakit asma yang dihadapinya.
Pun begitu, episod yang menghiris hati ini seakan enggan beranjak daripada kehidupannya. Pada usia yang lanjut, dia masih perlu berjuang demi kehidupan sehariannya seorang diri. Untuk kelangsungan hidup, dia bercucuk tanam di tepi rumahnya selain mengharapkan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Perjalanan hidupnya seakan tidak pernah lepas daripada kesulitan. Namun dengan segala keterbatasan pendapatannya itu, dia tidak pernah meminta atau mengharapkan belas ihsan orang lain untuk bertahan.
Baginya, tiada yang bisa menyurutkan langkahnya kerana di saat mentari memancarkan sinarnya, dia enggan berpeluk tubuh sahaja. Usia beranjak senja bukan bererti dia perlu berputus asa kerana percaya rezeki itu untuk mereka yang mahu berusaha.
Lantaran itu, wanita cekal ini masih bersemangat untuk menjemput rezeki setiap hari dengan menjual hasil tanamannya. Dia yang kesunyian memutuskan untuk menternak ayam kampung sebagai teman berbicara. Ayam kampungnya itu turut dijual kepada pembeli yang lalu lalang di sekitar kediamannya. Namun, hasilnya agak terbatas memandangkan ayamnya sering dimakan biawak yang menerjah masuk ke halaman rumahnya.
Lebih 20 ekor ayam kampung peliharaan Sedi menjadi peneman setianya.
“Biawak seringkali datang memakan ayam belaan saya hampir setiap hari. Kadang-kadang sampai dua ekor hilang dimakannya,” kata Sedi.
Menurut Sedi, hasil daripada perkahwinan pertama, dia dikurniakan empat orang anak yang kini masing-masing menetap di Kuching, Sibu dan Saratok.
Manakala, hasil perkahwinan keduanya bersama Juti Digat, dia dikurniakan seorang anak lelaki, Seman Juti yang berusia dalam lingkungan 30-an. Suaminya, Juti, telah meninggal dunia akibat sakit tua pada 2016. Lantaran itu, dia bergantung sepenuhnya kepada Seman yang kini bekerja di ladang berhampiran dan tinggal berasingan bersama keluarganya.
“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, Seman tidak dapat menjenguk saya di sini. Sebab itulah, saya telah terputus bekalan makanan hampir tiga minggu. Saya tidak dapat turun ke bandar Bintulu kerana tiada pengangkutan awam sepanjang tempoh PKP ini,” terang Sedi yang tidak pernah lekang dengan senyuman.
Semakin merancak menua, tenaga Sedi semakin berkurang. Oleh kerana itu, huluran tangan jiran tetangga amat bererti baginya. Pergerakannya makin terbatas akibat penyakit asma.
“Saya selalu melawat nenek Sedi dua hari sekali kerana risau dengan kesihatannya. Musim PKP ini saya menolong dia menjual hasil tanamannya ke rumah panjang berhampiran, dan hasilnya digunakan untuk nenek Sedi membeli beras,” terang Corina Mathew, 41 tahun, jiran berdekatan yang sering menjadi tempat Sedi melepaskan kerinduan terhadap anak-anaknya.
Sedi terkadang menangis dalam diam mengenangkan nasib dirinya yang tidak seperti wanita lain seusianya. Begitupun, semangatnya tidak pernah pudar dalam menelusuri hari-hari yang mendatang.