
KUALA LUMPUR: Petronas Carigali Sdn Bhd (Petronas Carigali) sedang membangunkan strategi mengutamakan aset bernilai tinggi serta meneroka kawasan eksplorasi baharu yang berpotensi membawa pulangan di tengah-tengah landskap tenaga global yang semakin mencabar.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Hazli Sham Kassim berkata selain itu syarikat tersebut juga mengambil langkah memanfaatkan teknologi baharu untuk mengekalkan jaminan tenaga Malaysia bagi tempoh jangka panjang.
Beliau berkata strategi itu bukan untuk keuntungan jangka pendek semata-mata tetapi merupakan sebahagian daripada misi lebih meluas untuk mengukuhkan daya tahan tenaga negara sambil menyumbang kepada matlamat Petronas untuk mencapai pelepasan karbon bersih-sifar menjelang 2050.
“Setiap syarikat di dunia, termasuk kami, beroperasi dengan dana yang terhad. Apa yang penting adalah bagaimana kami mengoptimumkan modal itu untuk menjana pulangan terbaik.
“Itulah sebabnya kami melaksanakan strategi penggredan tinggi portfolio, mengenal pasti aset mana yang patut kami terus melabur dan yang mana kami perlu perkemaskan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.
Menilai Semula Aset, Sasar Aset Bernilai Tinggi
Hazli Sham berkata strategi aset Petronas Carigali berlandaskan kepada prinsip “mencapai matlamat dengan sumber yang sedikit,” memaksimumkan pulangan daripada sumber sedia ada sambil memastikan setiap pelaburan mencipta nilai jangka panjang yang mampan.
Beliau menjelaskan aset bernilai tinggi ditakrifkan sebagai aset yang mampu mencapai kos pengeluaran seunit (UPC) kurang daripada US$6 setong, dengan harga minyak pulang modal operasi di bawah US$50 setong — penanda aras yang membolehkan syarikat kekal berdaya tahan walaupun semasa turun naik harga minyak.
Pendekatan ini membentuk sebahagian daripada pelaksanaan penggredan tinggi portfolio Petronas Carigali yang lebih meluas, yang mana aset matang atau pulangan rendah secara beransur-ansur dioptimumkan untuk digunakan sebagai modal bagi pembangunan baharu yang lebih produktif.
Menurutnya, tumpuan bukan sahaja kepada pertumbuhan pengeluaran jangka pendek tetapi juga untuk meningkatkan kecekapan, mengurangkan pelepasan karbon, dan melaksanakan automasi merentasi operasi.
“Lebih baharu aset itu, lebih mudah bagi kami untuk mengautomasikan operasi. Banyak kemudahan ini kini boleh dikendalikan dari jauh, yang bukan sahaja membantu mengurangkan masa henti (operasi) tetapi juga meminimumkan risiko keselamatan,” katanya.
Hazli Sham berkata dengan memperkemas portfolionya, Petronas Carigali boleh memperuntukkan lebih banyak sumber untuk peluang dan projek karbon rendah yang berpotensi tinggi pada masa depan, terutamanya yang sejajar dengan matlamat kemampanan Petronas.
Akhir sekali, katanya, matlamat Petronas Carigali adalah untuk mengoptimumkan keseluruhan rantaian nilai, daripada eksplorasi, pembangunan, dan pengeluaran hinggalah kepada penamatan operasi bagi memastikan setiap aset dalam portfolionya terus berdaya maju dari segi ekonomi dan memelihara alam sekitar.
Memanfaatkan Potensi Baharu
Sejak beberapa dekad lalu, industri eksplorasi minyak dan gas Malaysia telah berkembang daripada operasi berskala kecil kepada sektor teknologi tinggi yang menyokong rantaian nilai tenaga domestik dan juga serantau.
Menurut Hazli Sham, walaupun Malaysia kini mempunyai lapan lembangan petroleum, hanya tiga yang telah dibangunkan secara meluas. Lima lagi adalah lembangan baharu dengan potensi yang belum diteroka, termasuk Langkasuka dan Penyu di luar pantai Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata potensi itu boleh dimanfaatkan melalui perkongsian teknologi dan perkongsian risiko dengan pelabur.
Menurutnya, Malaysia mempunyai geografi petroleum yang pelbagai, dengan setiap wilayah memberi sumbangan berbeza kepada campuran tenaga negara.
“Pada masa ini, dari segi jumlah pengeluaran, Sarawak (mengeluarkan) terutamanya gas. Sabah, saya akan katakan, kebanyakannya minyak, manakala Semenanjung Malaysia kira-kira 50-50 — seimbang antara minyak dan gas,” katanya.
Hazli Sham menekankan tanggungjawab Petronas sebagai syarikat minyak negara untuk mengambil peluang selepas pertimbangan teliti di kawasan tersebut bagi melindungi bekalan tenaga jangka panjang negara.
“Ramai orang merasakan (kawasan) di Malaysia telah diteroka sepenuhnya. Namun realitinya, masih terdapat banyak kawasan eksplorasi baharu yang berpotensi besar. Jika berjaya, ia bukan sahaja meningkatkan rizab negara tetapi juga mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab tenaga serantau,” katanya.
Penemuan utama seperti lapangan Megah-1, di Deepwater Block 3K yang dianggap sebagai yang terbesar dalam tempoh dua dekad, menunjukkan bagaimana eksplorasi berani boleh membawa hasil kepada negara.
Teknologi sebagai Pemacu Kecekapan
Hazli Sham berkata teknologi dan inovasi telah menjadi tulang belakang kepada transformasi Petronas Carigali, membolehkan syarikat itu beroperasi dengan lebih bijak, pantas dan selamat dalam persekitaran tenaga yang semakin kompleks.
Antara kejayaannya yang paling utama ialah sistem Enhanced Resource Monetisation Artificial Intelligence (ERMAI), yang dibangunkan oleh jurutera Malaysia.
“ERMAI bukan sekadar alat analisis tetapi sistem yang mengubah cara kami mengurus sumber tenaga kami. Ia membolehkan kami mengenal pasti potensi pengeluaran tambahan dengan lebih pantas dan lebih tepat,” katanya.
Selain alat berasaskan data, penggunaan rig mechanised automation (RMA) telah meningkatkan kejituan, keselamatan dan ketekalan penggerudian.
Teknologi ini, bersama-sama dengan teknologi lain yang digunakan oleh Petronas Carigali, membolehkan syarikat itu mengurangkan masa pembangunan daripada purata industri 100 bulan kepada sekitar 50 bulan, yang dapat menggandakan kelajuan penyiapan projek.
“Dalam kes (lapangan) Bekok Shallow di perairan Terengganu, kami berjaya membawa telaga baharu ke fasa pengeluaran dalam masa 15 bulan sahaja — sesuatu yang hampir mustahil pada masa lalu,” kata Hazli Sham.
Beliau berkata syarikat itu juga sedang meneroka analisis ramalan dan aplikasi berkembar digital untuk mensimulasikan senario pengeluaran dan mengoptimumkan prestasi aset dalam masa nyata.
Menurutnya, dengan menggunakan automasi dan robotik di kemudahannya, Petronas Carigali telah meningkatkan keselamatan untuk kru di tapak dan mengurangkan penggunaan manual.
“Inovasi itu telah diperakui sebagai pemangkin yang membolehkan lebih banyak dicapai dengan sumber yang sedikit, kelebihan kritikal dalam mengekalkan daya saing, mengurangkan pelepasan (karbon), dan memastikan kemampanan operasi jangka panjang,” katanya.- Bernama