
KUALA LUMPUR: Petronas sedang mempertimbangkan untuk mempercepat suntikan karbon dioksida (CO2) pertama bagi projek pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) di medan gas Kasawari, di luar pesisir Sarawak seawal 2027.
Langkah itu dilaksanakan lebih awal daripada unjuran sebelumnya iaitu 2029 atau 2030 yang menjadi antara usaha untuk mengurangkan kesan pelepasan karbon kumpulan itu.
Ketua Pengurusan Karbon Petronas Emry Hisham Yusoff berkata rancangan itu yang masih di peringkat awal perbincangan mengambil kira bahawa medan gas itu mula beroperasi pada Ogos 2024.
Menurutnya Kasawari dibangunkan sebelum Petronas menetapkan komitmen pelepasan karbon sifar bersih yang menyebabkan wujud jurang antara pengeluaran dan perancangan pengurusan karbon.
“Ketika Kasawari dibangunkan, Petronas belum menetapkan komitmen karbonnya. Semasa peringkat fabrikasi, kami telah mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih kami dan mengambil tindakan untuk mengeluarkan CO2. Oleh itu, kami perlu menangani perkara itu.
“Terdapat jurang antara pengeluaran dan kesiapsiagaan suntikan, termasuk mengenal pasti medan yang sesuai untuk penyimpanan CO2. Kini, apabila Kasawari telah beroperasi dan pelepasan telah bermula, kami berusaha mempercepat pemerangkapan dan suntikan CO2 secepat mungkin,” katanya.
Emry Hisham berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai projek CCS di medan gas Kasawari di luar Persidangan Teknologi Luar Pesisir Asia (OTC Asia) di sini hari ini.
Beliau berkata Petronas menyasarkan kepada pemerangkapan 3.3 juta tan CO2 setahun untuk suntikan melalui projek CCS.
Medan gas Kasawari bakal mengintegrasikan antara projek CCS luar pesisir terbesar di dunia untuk menguruskan tahap CO2 yang tinggi dan telah memulakan operasi pada kira-kira 200 juta kaki padu sehari, dengan rancangan untuk meningkatkan output bagi menyokong bekalan gas asli cecair.
Emry Hisham berkata Petronas sedang menunggu pemuktamadan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) sebelum menilai sepenuhnya kesan terhadap industri, termasuk pelaksanaan kewajipan berkaitan iklim dan peraturan berkaitan karbon.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam pada Mac berkata RUUPIN dijadual dibentangkan pada sesi kedua Parlimen pada Jun 2026.
Menurutnya rang undang-undang ini bertujuan untuk berperanan sebagai perundangan iklim khusus Malaysia, mewujudkan rangka kerja perundangan untuk tadbir urus iklim, pengurusan pelepasan, peraturan pasaran karbon serta pelaporan dan pematuhan.
Emry Hisham turut menggesa kerajaan untuk mempercepat pemuktamadan perjanjian dua hala antara Malaysia dan negara-negara lain bagi memudahkan pergerakan karbon rentas sempadan untuk projek CCS.
Beliau berkata Malaysia kini sedang berbincang dengan Singapura dan Jepun mengenai potensi kerjasama, dengan rundingan dengan Singapura difahamkan lebih maju.
Bagaimanapun, tiada perjanjian telah ditandatangani setakat ini walaupun rundingan sedang dijalankan dan perjanjian dua hala antara negara-negara diperlukan sebelum boleh dilaksanakan secara rasmi.
Terdahulu, Emry Hisham merupakan ahli panel pada sesi industri bertajuk “Penskalaan Penyahkarbonan dan CCUS: Mengubah Aset Luar Pesisir untuk Pengeluaran Tenaga Lestari.”
Pada sesi itu, beliau berkata dasar yang jelas dan kawal selia kekal penting untuk menggalakkan pelaburan dalam CCS.
Menurutnya walaupun rangka kerja perundangan sedia ada Malaysia menyokong suntikan karbon dalam operasi petroleum, ini tidak meliputi sepenuhnya pemerangkapan karbon daripada kemudahan bukan petroleum seperti loji pemprosesan tenaga atau gas.
Beliau berkata Rang Undang-Undang Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025 diperkenalkan untuk menangani jurang ini dan membolehkan aktiviti CCS, termasuk projek merentasi sempadan.
Beliau berkata perjanjian dua hala antara kerajaan masih diperlukan untuk memudahkan pergerakan karbon dan memastikan penjajaran dengan rangka kerja antarabangsa.
Liabiliti adalah pertimbangan kritikal, kata Emry Hisham sambil memaklumkan di bawah rangka kerja Malaysia, pemaju CCS dikehendaki memantau dan memikul tanggungjawab ke atas tapak penyimpanan sekurang-kurangnya 10 tahun selepas ditutup sebelum memohon untuk menyerahkan kepada kerajaan, tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan kemungkinan untuk dilanjutkan. – Bernama