KUCHING: Sarawak akan terus menuntut Cukai Jualan Negeri (SST) bernilai RM2.878 bilion yang belum dibayar oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar (gambar) berkata,
inilah yang mahu dituntut oleh Sarawak dan tidak akan terdapat apa-apa pemotongan atau pengurangan daripada jumlah yang terkumpul sejak 2019.
Sehubungan itu, kenyataan media bersama antara Kerajaan Sarawak dengan Petroleum Nasional Berhad (Petronas) berhubung dengan Cukai Jualan Negeri (SST) baru-baru ini adalah bukan perjanjian rasmi.
Mohamad Asfia berkata, pihak Jawatankuasa telah sebulat suara untuk menegaskan bahawa ia bukan satu perjanjian rasmi.
“Kita mempunyai alasan mudah untuk tidak menganggap kenyataan tersebut sebagai perjanjian rasmi kerana tidak mempunyai format dan ciri khas seperti perkataan dan frasa perjanjian.
“Ia juga tidak mempunyai tajuk yang tepat, ketiadaan tanda tangan serta nama saksi dan ciri-ciri perjanjian rasmi yang lain,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perundingan DUN semalam.
Oleh yang demikian, kata Asfia, kenyataan yang ditandatangani oleh Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dengan Pengerusi Petronas Datuk Ahmad Nizam Salleh bukanlah perjanjian rasmi yang mungkin mempunyai implikasi dan konsekuensi undang-undang terhadap Sarawak.
Menurut Asfia, kenyataan bersama berkenaan adalah sebagai tanda rundingan berterusan antara Sarawak dengan Petronas.
Bahkan katanya, kenyataan bersama itu juga turut menyebut perkataan ‘Berkaitan rundingan yang akan dijalankan kelak …’ yang menunjukkan terdapatnya rundingan berterusan yang akan berlaku.
Tegas Asfia, kenyataan berkenaan menjelaskan kesediaan Petronas untuk membayar SST, merupakan pengakuan terhadap undang-undang negeri berkenaan dengan minyak dan gas di wilayah Sarawak berdasarkan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO) 1958, Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1963 dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Oleh Sheila Zaidi