BINTULU: Petroliam National Berhad (Petronas) meneruskan komitmen dalam membantu komuniti yang terjejas akibat bencana alam melalui inisiatif ‘Uplifting Lives Disaster Relief – Post Flood Recovery (School Restoration)’ di Sekolah Kebangsaan (SK) Asyakirin di sini.
Banjir yang melanda baru-baru ini menyebabkan prasekolah dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sekolah tersebut mengalami kerosakan teruk apabila ditenggelami air selama dua hari, menjejaskan kemudahan pembelajaran murid, termasuk perabot, peralatan elektrik, dan bahan bacaan.
Sebagai langkah pemulihan, Petronas menyalurkan bantuan bernilai RM70,000 merangkumi 90 meja dan kerusi, 33 kabinet laci plastik, 15 tikar lantai, tujuh papan putih, tujuh kabinet logam, lima peti sejuk, empat rak besi, serta pelbagai peralatan elektrik seperti dapur gas, televiysen (TV) pintar dan pengisar.
Pengurus Besar Petronas Sarawak, Norazibah Md Rabu berkata, sekolah berkenaan dipilih untuk program tersebut adalah berdasarkan perbincangan dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu bagi memastikan bantuan disalurkan kepada sekolah yang benar-benar memerlukan.
“Bantuan ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk membantu sekolah yang terjejas akibat banjir.
“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, prasekolah dan PPKI SK Asyakirin antara yang paling terkesan.
“Kami berharap sumbangan ini dapat membantu memulihkan suasana pembelajaran bagi murid-murid yang terjejas,” katanya ketika ditemui pada program tersebut di SK Asyakirin, hari ini.
Selain bantuan perabot dan peralatan, sukarelawan daripada Petronas dan anak syarikatnya termasuk Malaysia LNG (MLNG), Petronas Carigali Sdn Bhd (Sarawak Assets), Asean Bintulu Fertiliser (ABF), Petronas Group Security dan Sabah-Sarawak Gas Pipeline (SSGP) turut berganding bahu membantu kerja pemasangan perabot, penggantian pintu yang rosak serta penyusunan semula kelas dan pejabat guru.
Sebagai tambahan, Petronas turut menyumbangkan buku dan bahan bacaan kepada perpustakaan prasekolah bagi memastikan murid-murid mendapat akses kepada sumber pembelajaran yang lebih baik.
Dengan sumbangan itu, SK Asyakirin kini dalam keadaan lebih baik untuk meneruskan sesi pembelajaran, memberikan keselesaan dan semangat baharu kepada murid-murid serta tenaga pengajar.
Oleh Carolyne Utih