KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) menganugerahkah dua kontrak Reka Bentuk Kejuruteraan Front End (FEED) kepada konsortium JGC Corporation-Samsung Heavy Industries dan juga SAIPEM Spa.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada pertandingan reka bentuk dwi FEED antarabangsa bagi projek gas asli cecair (LNG) berdekatan pantai di Sabah, kata PETRONAS dalam satu kenyataan semalam.
Projek itu dengan kapasiti minimum 2.0 juta tan setahun (MTPA), merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.
“Pertandingan reka bentuk FEED itu dijangka berlangsung selama 10 bulan dengan Keputusan Pelaburan Akhir (FID) dirancang pada akhir 2022.
“Tertakluk kepada FID, kontraktor yang memenangi kontrak FEED akan dipindahkan ke fasa Kejuruteraan, Pemerolehan, Pembinaan dan Pengoperasian.
“Loji LNG berdekatan pantai itu dijangka sedia untuk dimulakan pada akhir 2026,” katanya.
Menurut PETRONAS, reka bentuk dan pembinaan loji berdekatan pantai dijangka lebih mudah dan selepas siap kelak berpotensi dapat meningkatkan masa pengeluaran kerana ia terletak di kawasan teluk yang terlindung berbanding kemudahan LNG terapung luar pantai di laut terbuka.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Gas dan Tenaga Baharu PETRONAS, Adnan Zainal Abidin berkata, kumpulan itu terus menyediakan akses yang lebih baik kepada sumber tenaga lebih bersih seperti gas asli.
“Pembangunan loji LNG berdekatan pantai pertama Sabah itu mencerminkan kepakaran teknologi kami yang mana kami terus menginovasikan penyelesaian moden untuk menjana keuntungan daripada sumber gas dengan cara yang dioptimumkan dan mesra alam,” katanya.
Selepas siap kelak, loji LNG berdekatan pantai itu dijangka meningkatkan pengeluaran LNG PETRONAS daripada kemudahan LNG terapung daripada 2.7 MTPA kepada 4.7 MTPA.
Ketika ini, PETRONAS mengendalikan dua kemudahan LNG terapung, PFLNG SATU dan PFLNG DUA, masing-masing di lapangan gas luar pantai Kebabangan dan Rotan.- Bernama