KUALA LUMPUR: Petronas tetap akan meneruskan projek cari gali di kawasan Laut China Selatan walaupun ketika ini terdapat pertindihan tuntutan dengan China, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, ini kerana Malaysia menganggap bahawa projek cari gali yang dilakukan ketika ini berada di dalam kawasan atau wilayah negara.
“Bagaimanapun kalau negara China anggap ini hak mereka, kita boleh buka untuk rundingan, tapi sementara itu, untuk usaha cari gali, kita akan teruskan. Saya tidak mahu elak daripada meneruskan rundingan, kerana ini pendiran ASEAN.
“ASEAN merasakan semua tuntutan bertindih harus diselesaikan secara rundingan, tapi setakat ini Malaysia bertegas bahawa ini (projek cari gali) adalah di kawasan atau wilayah Malaysia,” katanya pada sesi waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang ingin tahu sama ada Perdana Menteri ada membincangkan isu berhubung keselamatan serantau dalam lawatan rasminya ke China baru-baru ini, terutamanya dengan kehadiran tentera laut China di Laut China Selatan.
Anwar berkata, pendirian Malaysia berhubung usaha cari gali berkenaan juga telah disampaikan kepada Presiden China Xi Jinping dan rakan sejawatannya Li Qiang dalam lawatan rasminya ke negara tembok besar itu baru-baru ini.
“Memang perkara ini diangkat kerana kedua-dua pihak itu ada tuntutan bertindih di Laut China Selatan terutama kebimbangan negara China kerana Petronas telah menjalankan satu kegiatan besar-besaran di satu kawasan yang juga dituntut oleh negara China,” katanya.
Berhubung kehadiran kapal dan tentera laut China di Laut China Selatan, Perdana Menteri berkata, negara itu telah menjelaskan bahawa ia berada di perairan antarabangsa, namun Kementerian Luar akan terus memantau dan mengeluarkan bantahan sekiranya terdapat perlanggaran.
Anwar berkata, Malaysia dan ASEAN tegas dengan pendirian untuk tidak menyokong sebarang usaha yang boleh meningkatkan ketegangan terutama dalam bidang ketenteraan.
“Sebab itu bila diumum penubuhan AUKUS, Malaysia menyatakan keresahan dan kebimbangan agar perkara ini tidak meledak sebagai suatu yang akan dianggap provokatif yang akan menyebabkan negara China meningkatkan kegiatan mereka di rantau,” katanya.
AUKUS merujuk kepada pembentukan kerjasama pertahanan tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).
Pada 30 Mac lepas Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sebagai anggota ASEAN, Malaysia memegang prinsip untuk mengekalkan ASEAN sebagai Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN) termasuklah dalam isu berkaitan perlucutan senjata nuklear, pencegahan percambahan nuklear dan penggunaan teknologi nuklear secara aman. – Bernama