
KUALA LUMPUR: Malaysia menyasar untuk menjadi destinasi pelaburan minyak dan gas huluan utama didorong oleh pembukaan lapangan hidrokarbon baharu, dasar fiskal progresif dan strategi yang jelas bagi sektor tenaganya pada masa hadapan.
Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) Petronas Datuk Bacho Pilong berkata sektor huluan negara mencapai paras tertinggi dalam sejarah pada 2024 dan kini berada di kemuncak fasa pertumbuhan utamanya yang seterusnya.
“Buat pertama kalinya dalam sejarah, kita mencecah 2.0 juta tong minyak sehari pada 2024 daripada permulaan sederhana 100,000 tong pada 1970-an. Itu adalah kemuncak pertama,” katanya.
“Kemuncak kedua adalah perbelanjaan modal huluan tertinggi yang pernah dicatatkan di Malaysia, iaitu sebanyak RM50 bilion. Dan yang ketiga adalah jumlah anugerah blok tertinggi dalam sedekad — iaitu sebanyak 14 secara keseluruhannya,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.
Memanfaatkan Lembangan Baharu
Malaysia memiliki lapan lembangan hidrokarbon prolifik. Walaupun tiga sudah mengeluarkan pengeluaran, lima lagi lembangan masih belum diterokai, memberikan peluang besar kepada pelabur yang mencari aset yang memberi ganjaran tinggi.
“Bayangkan 50 tahun lepas lapangan eksplorasi kita hanya tiga lembangan. 50 tahun akan datang, lapangan eksplorasi kita akan menjadi lapan. Ia suatu yang menerujakan,” kata Bacho.
Sejak pelancaran Malaysia Bid Round (MBR) pada 2021, lebih daripada 25 kontrak blok eksplorasi dan pembangunan telah diberikan, menandakan kemunculan semula minat terhadap industri huluan.
Tahun ini, momentum itu berterusan. MBR 2025 menandakan babak baharu, menawarkan lima blok eksplorasi dan tiga kluster Peluang Sumber Ditemui (DRO).
Antara pemberian awal ialah Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Mutiara Cluster Small Field Asset (SFA) kepada Dialog Resources Sdn Bhd, memanfaatkan potensi di Pantai Timur Sabah. Pemberian kontrak utama lain adalah Temaris Cluster SFA PSC, yang diberikan kepada Seascape Energy Asia (One) Sdn Bhd, menyasarkan pengeluaran sekitar 100 juta kaki padu gas standard sehari menjelang 2029.
Selain itu, Perjanjian Penilaian Teknikal (TEA) telah ditandatangani dengan tujuh syarikat utama untuk lembangan Langkasuka termasuk BP, Eni, TotalEnergies, Pertamina, PTTEP, AFED TEXCAL dan Petronas Carigali.
Sementara itu, bagi lembangan Layang-Layang, syarikat-syarikat yang terlibat termasuk ConocoPhillips, INPEX, Pertamina, POSCO International, TotalEnergies dan Petronas Carigali.
MPM kini menyasarkan untuk mencapai “tiada kawasan yang belum diteroka,” dengan pelesenan sepenuhnya telah dicapai bagi semua blok di Sarawak. Tumpuan kini beralih ke Sabah dan Semenanjung Malaysia, dengan momentum pelesenan yang semakin meningkat.
Ekosistem Menyokong Bagi Pelabur
Bacho menekankan bahawa apa yang membezakan Malaysia bukan sahaja potensi subpermukaan malah struktur kawal selia yang telus dan bersepadu.
“Semua pelabur ini hanya berurusan dengan satu pihak iaitu Petronas,” katanya sambil memaklumkan kejelasan peraturan ini turut disokong oleh syarat fiskal progresif, seperti Terma Keuntungan Dipertingkatkan (EPT) yang dihasilkan untuk menambah baik daya maju komersial.
MPM juga telah memperkenalkan Pusingan Bidaan Malaysia Tambahan (MBR+) iaitu strategi pelesenan baharu yang menyasarkan Peluang Sumber Ditemui (DRO) dan Aset Hayat Lewat (LLA). Laluan eksklusif ini bagi pelanggan myPROdata telah mencatat kadar pengambilan 100 peratus dalam tempoh dua pusingan pertama.
Bagi meningkatkan nilai selanjutnya, satu “strategi pengelompokan” kini dilaksanakan, iaitu dengan menggabungkan subblok penerokaan dengan DRO dan sebaliknya, membolehkan pelabur meneroka aset pada peringkat awal dan akhir dalam satu tawaran.
“Ini mewujudkan lebih nilai kepada pelabur. Ada yang mahukan risiko jangka panjang, ada yang mahukan pengeluaran jangka pendek. Dengan pengelompokan, pelabur boleh mendapat kedua-duanya,” kata Bacho.
Beliau berkata MPM turut bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk melaksanakan cukai karbon bagi sektor besi dan keluli pada 2026, sebagai sebahagian daripada langkah yang lebih menyeluruh untuk mengintegrasikan pengurusan karbon dalam pembangunan tenaga sejak daripada peringkat awal.
“Dalam projek yang akan datang, gas rumah hijau (GHG) perlu ditangani dengan lebih awal. Ia menjadi sebahagian daripada kejuruteraan, ia dibina dalam reka bentuk. Sebagai contoh, projek Kasawari Malaysia telah mengintegrasikan pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) dalam reka bentuknya.
“Ini menunjukkan bagaimana kami memastikan kemampanan bukanlah sesuatu yang difikirkan kemudian, tetapi sesuatu yang dibina dalam setiap langkah ketika kami membangunkan projek baharu,” kata Bacho.
Sumber Teknikal, Cekap Kos
Bagi mengurangkan perbelanjaan modal pelabur, MPM telah bertindak memperkenalkan “Refurbished Platforms Menu” atau pelantar diperbaharui yang membolehkan struktur luar pesisir sedia ada digunakan semula bagi tujuan pembangunan medan baharu, malah pilihan ini sedang diteroka oleh beberapa syarikat.
“Kami turut menawarkan pelabur dengan pelantar sedia ada yang telah diperbaharui dan boleh digunakan semula. Ini dapat membantu mengurangkan lagi perbelanjaan modal mereka,” kata Bacho.
Selain itu, sistem myPROdata Petronas yang disokong oleh pelaburan tahunan sebanyak RM500 juta dalam aspek data seismik, memberi akses hampir sifar kos kepada data bawah permukaan yang penting kepada pelanggan — satu pendekatan data terbuka yang disifatkan oleh Bacho sebagai perubahan besar dalam industri.
“Ini bukannya bertujuan mengaut untung daripada anda (sebaliknya) bagi membolehkan anda mengakses data kami.
“Kami yang melabur agar anda tidak perlu berbuat demikian. Itulah sebahagian daripada nilai unik yang kami tawarkan,” katanya.
Kebangkitan Sabah : Meneroka Sempadan Tenaga Seterusnya
Sabah kian menyerlah sebagai tumpuan utama bagi pertumbuhan huluan Malaysia yang seiringan dengan lokasinya yang mempunyai empat daripada lima lembangan negara.
Ketika pelesenan Sarawak kini sudah lengkap, tumpuan seterusnya beralih kepada Sabah.
Antara pencapaian signifikan adalah penganugerahan Blok Mutiara di Lembangan Sandakan pada 2025 yang menandakan “kebangkitan” semula kawasan tidak aktif.
Syarikat Jepun, INPEX, misalnya kembali bagi membangunkan Blok SB306A dan SB306B yang juga kawasan sama diterokai oleh pendahulunya pada 1960-an, sekali gus membuktikan kehadiran semula keyakinan global.
Pada 1960-an misalnya, Teikoku Oil melalui Sabah Teiseki Oil Co, telah melakukan usaha cari gali di Sabah dan bertindak menggerudi lima telaga di luar Pulau Sebatik berhampiran Tawau.
Blok-blok di Sabah kini ditawarkan menerusi strategi pengelompokan MPM yang menggabungkan peluang sumber ditemui (DRO) dengan kawasan penerokaan yang disokong oleh data seismik serba maju, terma fiskal yang fleksibel dan akses kepada myPROdata Petronas.
“Sebelum ini, Sabah hanya mempunyai tiga PSC yang menghasilkan minyak dan gas. Namun kini, ada sebanyak 10 PSC aktif manakala minat pelabur pula semakin meningkat,” kata Bacho.
Perkembangan itu turut mencerminkan visi jangka panjang Malaysia bagi mengembangkan sektor huluan selain memastikan pembangunan secara terangkum di seluruh kawasan pengeluar tenaga utama.
Visi Strategik : Kemampanan Jangka Panjang
Malaysia terus mencatatkan pengeluaran kira-kira dua juta tong bersamaan minyak sehari (boe/hari), bersamaan sekitar 700 juta boe setahun.
Untuk mengekalkan kadar pengeluaran setara, Malaysia menyasarkan penambahan 500-600 juta boe setahun menerusi penemuan baharu, yang memerlukan penggalian 20-25 telaga minyak setahun, dengan kadar kejayaan 50 peratus.
Setiap telaga yang berjaya menghasilkan pengeluaran dijangka mampu menghasilkan sekitar 50 juta boe, sekali gus menyokong usaha penggantian jumlah pengeluaran serta keselamatan tenaga jangka panjang negara.
Langkah strategik ini merupakan fasa penting dalam perjalanan transformasi Petronas sebagai sebuah syarikat tenaga bersepadu, yang bukan sekadar mengekalkan keunggulan huluannya menjelang 2035.
“Kami sedang membayangkan semula peranan Malaysia sebagai peneraju serantau melalui kerjasama inovatif, teknologi termaju dan kecemerlangan aset,” kata Bacho.
Beliau berkata transformasi ini mencerminkan evolusi Petronas sebagai rakan tenaga dan penyelesaian progresif, dengan setiap keputusan perniagaan, daripada penerokaan lembangan baharu hingga kepada penambahbaikan portfolio, diselaraskan dengan visi jangka panjang untuk membekalkan tenaga mampan dan berdaya saing bagi dekad akan datang.
“Fasa ini kita panggil Petronas 2.0, iaitu membina ekosistem tenaga masa depan hari ini, untuk memastikan Malaysia kekal relevan tetapi penting dalam peralihan tenaga global,” katanya.
Pemantapan Kapasiti Institusi
Bacho turut menegaskan bahawa entiti milik kerajaan negeri seperti Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dan SMJ Energy Sdn Bhd memainkan peranan penting dalam rantaian nilai tenaga negara.
“MPM bekerjasama rapat dengan Sabah dan Sarawak bagi menyelaras aspirasi negeri dengan strategi nasional dan kepentingan pelabur,” katanya, sambil menekankan bahawa peranan negeri yang semakin ketara mencerminkan kematangan ekosistem tenaga, sekali gus menolak tanggapan bahawa perkembangan ini adalah disebabkan ketidaktentuan dari segi peraturan.
Bagi menyokong operasi luar pesisir pada masa hadapan, Petronas sedang memperkasa tenaga kerja tempatan melalui inisiatif seperti program Skilled Trade Champion serta latihan teknikal dalam bidang perancah dan pemasangan mekanikal.
Dalam masa yang sama, hubungan antara ahli akademik dan industri terus diperkukuh menerusi pemberian geran penyelidikan bernilai RM71 juta kepada 61 penerima daripada 25 universiti, di bawah program Dialog Kerjasama Petronas-Ahli Akademik yang bertujuan mempercepat inovasi tenaga.– Bernama