
KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan bahawa pihaknya sedang melaksanakan Projek Mengatasi Banjir dan Hakisan Pantai di Sarawak melibatkan 17 lokasi di enam bahagian utama negeri itu.
Menjawab pertanyaan lisan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, kementerian tersebut menjelaskan bahawa projek berkenaan dilaksanakan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM316 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
“Antara lokasi yang terlibat termasuk Kuching, Mukah, Miri, Limbang, Samarahan dan Betong.
“Kawasan-kawasan yang berisiko tinggi seperti Kampung Semarang, Kampung Beting Maro dan Pantai Maludam turut terlibat dalam skop projek,” menurut jawapan bertulis kementerian.
Skop utama projek ini merangkumi pembinaan struktur perlindungan banjir pantai, kawalan hakisan, serta kerja berkaitan yang bertujuan mengurangkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa akibat bencana tersebut.
Projek berkenaan kini dalam fasa perolehan secara reka dan bina dengan kontrak kerja dijangka bermula Disember 2025 untuk tempoh pelaksanaan selama lima tahun.
Apabila siap kelak, projek ini dijangka dapat melindungi 32.9 kilometer pantai daripada ancaman banjir dan hakisan di kawasan terlibat.
Oleh Adi Safarman