
KUCHING: Sarawak bakal mengadaptasi model pembangunan sukan dari Australia sebagai panduan dalam usaha membangunkan Pusat Kecemerlangan Sukan (High Performance Centre) tersendiri yang setaraf ‘Bukit Jalil’ bertempat di Petra Jaya.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pusat itu penting bagi melonjakkan prestasi atlet ke peringkat lebih tinggi.
“Kita akan membina Pusat Sukan Berprestasi Tinggi kita sendiri kerana untuk kita maju dalam sukan, kita mesti ada ‘Bukit Jalil’ kita sendiri.
“Bukit Jalil ada Pusat Sukan Berprestasi Tinggi Sarawak pun mesti ada juga untuk sukan di Sarawak terus maju.
“Kita sudah mempunyai semua fasiliti dan hanya dua yang belum iaitu velodrom yang telah diluluskan dan Pusat Sukan Berprestasi Tinggi ini,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa hadir pada majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah bagi acara International Born to Dance Championship 2025 di auditorium Muzium Budaya Borneo, hari ini.
Tambah beliau lawatan kerja ke Australia baru-baru ini memberi peluang kepada delegasi Sarawak meninjau bagaimana negara itu membentuk sistem sukan bertaraf dunia.
“Australia meletakkan penekanan yang tinggi terhadap kemajuan sukan dan sering muncul sebagai antara negara teratas dalam temasya seperti Sukan Olimpik, Komanwel dan Asia.
“Australia sangat menekankan pembangunan sukan dan kita ingin pelajari ramuan kejayaan mereka.
“Delegasi Sarawak turut diberi taklimat oleh Institut Sukan Australia dan Suruhanjaya Sukan New South Wales berhubung pengurusan sukan di peringkat negeri dan persekutuan,” jelasnya.
Beliau mengulas lanjut bahawa tapak pembinaan pusat berkenaan telah dikenalpasti dalam kawasan Kompleks Sukan Sarawak dan pengisiannya akan disesuaikan dengan keperluan negeri ini.
“Daripada lawatan ini, kita tahu apa yang perlu dimasukkan supaya ia betul-betul sesuai untuk Sarawak.
“Selain Australia, Sarawak turut meneliti model pembangunan sukan negara lain termasuk Korea Selatan sebagai rujukan tambahan,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah