Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Petisyen difailkan demi kejelasan hak petroleum Sarawak – Abdul Karim
  • SEMASA

Petisyen difailkan demi kejelasan hak petroleum Sarawak – Abdul Karim

Utusan Sarawak 4 hours ago
DATO Sri Abdul Karim bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Jerayawara Bubur Lambuk Saberkas Sarawak 2026 di Kolej Universiti I-CATS, hari ini.

KUCHING: Kerajaan Sarawak memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan penentuan berhubung kesahan perlembagaan dan pemakaian tiga undang-undang petroleum Persekutuan ke atas negeri ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tindakan tersebut bertujuan mendapatkan kejelasan undang-undang daripada mahkamah mengenai status Akta Pembangunan Petroleum 1974, Akta Perlombongan Petroleum 1966 dan Akta Pelantar Benua 1966.

“Saya rasa kita serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan. Tujuan petisyen ini adalah untuk mencari kejelasan daripada mahkamah tentang status tiga undang-undang tersebut,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jerayawara Bubur Lambuk Saberkas Sarawak 2026 di Kolej Universiti i-CATS, hari ini.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa perkara itu kini dalam proses perundangan dan tidak wajar diulas panjang lebar kerana tertakluk kepada prinsip subjudis.

Terdahulu, Pejabat Premier Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa petisyen tersebut difailkan bagi menentukan sama ada akta-akta berkenaan masih sah dan terpakai ke atas Sarawak, khususnya melibatkan hak negeri terhadap sumber minyak dan gas di dasar laut dalam sempadan negeri.

Menurut kenyataan itu, sempadan Sarawak adalah seperti yang diperluas dan ditakrifkan di bawah Perintah dalam Majlis 1954 dan 1958, manakala hak terhadap sumber petroleum berkenaan disandarkan kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan Sarawak juga memohon penentuan Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 4(3) dan 128(1) Perlembagaan Persekutuan berhubung kesahan akta-akta tersebut setakat mana pemakaiannya ke atas negeri ini.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 dijadualkan berlangsung pada 2 Mac ini bagi membincangkan isu-isu tertunggak antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, perbincangan tersebut tidak berkaitan secara langsung dengan prosiding mahkamah, sebaliknya menyentuh perkara-perkara lain di bawah MA63 termasuk kesihatan, pendidikan dan pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Semua perkara adalah keutamaan kita. Kesihatan, pendidikan dan formula pemberian khas yang telah kita kemukakan kepada Kerajaan Persekutuan, semuanya penting dan kita harap dapat dimuktamadkan,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa petisyen yang difailkan memberi tumpuan kepada isu sumber asli serta bidang kuasa dan sempadan, manakala rundingan secara konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan akan terus diteruskan demi kepentingan negeri dan negara.

Oleh Shikin Mahmud

Continue Reading

Previous: Empat hari hilang, warga emas ditemui selamat di Gunung Tasik Biru Bau
Next: Jambatan baharu Jalan Moh Seng siap, beri kelegaan kepada penduduk

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.