SITUASI tersebut tidak sedikitpun menjejas sasaran Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) untuk beroleh himpunan tiga pingat utama pada temasya Sukan Malaysia (SUKM) A XX Johor 2020 yang dijadual berlangsung 6 hingga 14 Mac 2021.
Presiden SABA, Dato Rahman Lariwoo mengakui, memang para petinju begitu terkesan dengan situasi dialami ketika ini.
“Bayangkan…para petinju hanya menjalani latihan secara sendirian di rumah. Tiada sebarang kejohanan pendedahan disertai.
“Pada erti kata lain, ia turut menyumbang kepada penurunan prestasi. Akan tetapi saya yakin ia tidak mengendur sasaran kita untuk beroleh pingat,” ujar Dato Rahman pada sidang media dikediamannya semalm.
Sambil merujuk kepada situasi sama turut dilalui petinju negeri-negeri lain yang akan berentap sama dalam kejohanan berprestij negara itu kelak.
Justeru, beliau merasakan peluang tetap terbuka untuk anak-anak buahnya mencetak nama sebagai penyumbang pingat kepada Sarawak kelak.
Bagi Dato Rahman, besar harapan pihaknya agar musibah yang melanda negara dan dunia ketika ini akan pulih sepenuhnya.
Lantaran membuka kembali peluang para petinju meningkatkan latihan masing-masing.
Untuk rekod skuad tinju berjaya meraih tiga pingat ketika berlangsung Sukma Perak 2018 iaitu satu emas dan dua gangsa.
Pingat emas disumbangkan oleh Dealoniel Mcdelon Bong (60kg). Manakala, dua pingat gangsa masing-masing dibumbangkan oleh Christyuden Anak Ripoh (69kg) dan Wilson Berayin Anak Sumbang (56kg).
Sementara itu, badan induk berkenaan (SABA) sudahpun memuktamadkan senarai penuh petinju yang akan mewakili Sarawak.
Di samping tiga petinju yang juga penyumbang pingat di temasya lalu.
Enam lagi mereka ialah Jackson Chambai Anak Ikeh (49kg), Muhammad Syawal Mohammad Isham (52kg), Mohd. Jamani Abdullah (64kg), Abdul Hakim Abdullah (75kg), Rais Arsyad Sulam (81kg) dan Hellary Anak Hendry (91kg).