
KUCHING: Peminat muzik rock di Sarawak bakal disajikan dengan persembahan istimewa apabila kumpulan popular Indonesia, Peterpan, tampil buat pertama kali di Kuching menerusi Rock di Bandar (RiTC) 2026 pada 29 Ogos depan.
Festival muzik rock selama dua malam itu akan berlangsung di Wisma Melayu, Jalan Diplomatik pada 29 dan 30 Ogos, dari 7.15 malam hingga tengah malam, dengan menghimpunkan barisan kugiran dari Sarawak, Malaysia, Brunei dan Indonesia.
Dianjurkan oleh Aiee Event Management dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, RiTC 2026 hadir dengan konsep baharu yang membawa pengalaman muzik rock ke lokasi bandar selepas sebelum ini dikenali sebagai Rock di Rimba di Kampung Budaya Sarawak (SCV).
Kemunculan Peterpan menjadi antara tarikan utama festival berkenaan menerusi persembahan lagu-lagu popular seperti Mungkin Nanti, Semua Tentang Kita, Bintang di Syurga, Menghapus Jejakmu dan Ada Apa Denganmu yang mencipta fenomena dalam kalangan peminat muzik Indonesia dan rantau Asia Tenggara.
Pada malam pertama, Peterpan akan berkongsi pentas bersama kugiran rock tempatan Post Mortem Education serta kumpulan rock dari Brunei, Secret Signal.
Malam kedua pula bakal menampilkan persembahan daripada Senseless dan Fearless dari Sarawak dan Indonesia, selain kumpulan rock dari Kuala Lumpur, Barbaric.
Lebih daripada sekadar konsert, RiTC 2026 menjadi wadah untuk meraikan kesinambungan muzik rock serta membuka ruang kepada pemuzik tempatan dan serantau untuk berinteraksi bersama peminat menerusi persembahan muzik secara langsung.
Penganjuran festival itu turut dijangka menyumbang kepada perkembangan industri kreatif dan pelancongan muzik Sarawak dengan menarik kehadiran peminat dari dalam dan luar negeri.
Tiket boleh didapati menerusi platform Saratic di https://saratic.com/event/rock-in-the-city-2026/, manakala maklumat terkini mengenai RiTC 2026 boleh diikuti menerusi Facebook, Instagram dan TikTok rasmi acara berkenaan.