MIRI: Petani harus mula menceburi industri pertanian nanas dan bukannya menumpukan kepada perladangan kelapa sawit.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom pada majlis pelancaran varieti baharu baka nanas iaitu Sarawak Gold 1 (SG1) atau AC 16 di ladang TG Agro Fruits di Sungai Tukau di sini, hari ini berkata, penanaman nanas boleh menjana sumber pendapatan lumayan kepada petani terutamanya yang tinggal di kawasan luar bandar.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata demikian pada majlis pelancaran varieti baharu baka nanas iaitu Sarawak Gold 1 (SG1) atau AC 16 di ladang TG Agro Fruits di Sungai Tukau di sini, hari ini.
Katanya, Kerajaan Sarawak melalui kementerian merancang untuk meningkatkan bukan sahaja aktiviti huluan juga hiliran dalam sistem pembekalan nanas termasuk mengguna pakai penyelidikan dan pembangunan (R&D) terutama bagi aktiviti hiliran yang tersedia di Malaysia Barat untuk meningkatkan industri nanas.
“TG Agro Fruits merupakan perintis dalam penanaman nanas varieti terbaharu SG1/AC 16 di Miri.
“Varieti nanas baharu SG1 telah didaftarkan secara rasmi pada 13 Disember tahun lalu oleh Jabatan Pertanian Malaysia dan direkodkan sebagai salah satu Daftar Varieti Tumbuhan Kebangsaan dengan nombor pendaftaran sebagai AC 16 dengan singkatan SG1,” jelasnya.
“Pada 2019, nanas varieti ini mula diimport dari Taiwan ke Miri, dengan mahkotanya ditanam dan digunakan sebagai bahan tanaman di plot pembiakan benih di Kampung Riam Jaya dan sebahagian kawasan ladang di Sungai Tukau, Miri.
“Sarawak kini berada dalam kedudukan kedua sebagai pengeluar nanas selepas Johor, dan kini mampu berada di kedudukan teratas.
“Sarawak mempunyai tanah yang luas untuk penanaman nanas, bayangkan 20,000 nanas di atas tanah seluas satu ekar ia boleh menjana pendapatan sehingga RM6,000 sebulan,” jelasnya.
Katanya lagi, bukan sahaja terhad untuk penggunaan makanan, nanas turut memasuki industri pengeluaran tekstil.
“Melalui inovasi, kita boleh membuat pakaian daripada serat daun nanas atau beg tangan sebagai contoh, menjadikannya memberi manfaat kepada masyarakat,” ujar beliau lagi.
Sehubungan itu, kementerian ini juga merancang untuk memperkenalkan kaedah pertanian moden bagi menggalakkan dan menarik lebih ramai generasi muda bekerja dalam sektor pertanian.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Kemajuan Wilayah I (Modenisasi Pertanian) Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan II (Pembangunan Usahawan) Dr Ripin Lamat, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Yusuf, Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (MPIB) Mohd Khairuzamri M. Salleh dan Pengarah Urusan TG Agro Fruits Dato’ Yap Foot Loy.
Oleh Adum Liu