KUCHING: Dua kes baharu positif Covid-19 yang dicatatkan di Daerah Kuching pada Jumaat adalah petanda awal akan berlaku gelombang kedua, kata Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr. Annuar Rapa’ee.
Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi itu berkata demikian dalam catatan di laman Facebooknya kelmarin mengulas mengenai dua kes positif Covid-19 dilaporkan di Kuching pada Jumaat lalu yang melibatkan penularan tempatan kerana tiada sejarah perjalanan ke luar negara.
“Dua kes baharu di kalangan warga tempatan di Kuching menunjukkan kita masih belum berjaya mengalah Covid-19.
“Sesiapa yang berpendapat Covid-19 tidak akan merebak semula dan kita boleh lupa menjaga kesihatan adalah suatu kesilapan besar,” tegasnya.
Tambahnya, banyak negara lain terpaksa melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana telah berlaku gelombang kedua.
“Dua kes baharu di Kuching itu adalah petanda awal akan berlakunya gelombang kedua,” ujarnya.
Sementara itu, semalam (Sabtu) Sarawak turut merekodkan dua kes positif Covid-19 juga di Daerah Kuching dengan salah satu kes melibatkan kematian dan satu kes import iaitu kes balik dari United Kingdom.