
KUCHING: Pertubuhan Komuniti Progresif Kuching (PKPK) dengan kerjasama Sarawak Society for the Prevention of Cruelty to Animals (SSPCA) akan menganjurkan Pet Walk 2.0 pada 26 April 2026 di Ruang Legar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
Acara komuniti inklusif yang dijadual bermula seawal 6.30 pagi itu terbuka kepada orang awam, sama ada yang memiliki haiwan peliharaan mahupun tidak, dengan matlamat memperkukuh kesedaran terhadap tanggungjawab pemilikan haiwan serta mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Menurut pengerusi penganjur yang juga pengerusi PKPK, Ryan Jee, sebanyak 50 peratus daripada keuntungan bersih acara ini akan disalurkan kepada SSPCA bagi membantu menampung kos operasi pusat berkenaan.
Beliau menggesa syarikat korporat, pemimpin komuniti, kumpulan pencinta haiwan dan masyarakat umum agar bersatu menyokong inisiatif ini dengan hasrat menjadikan Pet Walk 2.0 sebagai acara berteraskan haiwan peliharaan terbesar di Sarawak, dan berpotensi diperluas ke peringkat nasional.
Edisi kali ini menyasarkan penyertaan 1,500 peserta bersama haiwan peliharaan masing-masing, selain memperkenalkan jarak baharu sejauh lima kilometer bagi menarik lebih ramai pejalan kaki dan pelari untuk turut serta.
Sementara itu, penasihat Pet Walk 2.0 yang juga pengerusi SSPCA, Datin Sri Dona Durry Wee, berkata acara tersebut bukan sekadar aktiviti sukan komuniti, malah berperanan sebagai platform penting dalam memupuk amalan pemilikan haiwan peliharaan secara bertanggungjawab dan meningkatkan kesedaran terhadap pencegahan rabies.

“Rabies masih wujud dalam persekitaran kita, namun selagi haiwan peliharaan anda divaksin, anda turut melindungi diri dan keluarga,” jelas beliau sambil menegaskan bahawa sebarang gigitan atau cakaran haiwan tidak boleh diambil mudah.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya mendapatkan rawatan perubatan segera walaupun luka kecil, dan tidak menyentuh atau menanam bangkai haiwan yang mati tanpa sebab yang jelas, sebaliknya segera memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut.
Dona turut memaklumkan bahawa pendaftaran untuk Pet Walk 2.0 kini dibuka melalui promosi pendaftaran awal sehingga 15 November 2025, manakala orang ramai juga boleh mendaftar semasa Pasar Amal Krismas SSPCA pada 7 Disember di Foyer MBKS.
Selain itu, acara tersebut turut mendapat sokongan Jabatan Perkhidmatan Veterinari Sarawak (DVS) yang akan menyediakan vaksinasi rabies percuma kepada anjing peserta dan haiwan lain sebelum acara berlangsung.
Kerjasama ini, ujar beliau, mencerminkan komitmen bersama dalam melindungi kesihatan awam dan kebajikan haiwan melalui pendidikan serta akses kepada rawatan.
Dalam perkembangan sama, jawatankuasa penganjur turut mengalu-alukan Twinkle Star, jenama di bawah International Marketing Management Sdn Bhd, sebagai penaja utama Pet Walk 2.0, melambangkan sokongan korporat yang semakin meningkat terhadap inisiatif berasaskan kesejahteraan komuniti dan kebajikan haiwan.
Oleh Norman B