PADAWAN: Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mohd Zainal Abdullah menegaskan bahawa ancaman keselamatan masa kini semakin kompleks, khususnya melibatkan penipuan dalam talian, scam, perjudian dalam talian, penyalahgunaan media sosial, penyebaran maklumat palsu serta jenayah berasaskan teknologi digital.
Beliau berkata anggota polis perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan, keupayaan analisis serta kemahiran teknologi bagi memahami modus operandi baharu dan rangkaian yang digunakan penjenayah.

“Lawatan kerja sedemikian bukan sekadar memenuhi agenda rasmi, sebaliknya menjadi peluang untuk turun padang, melihat sendiri tahap kesiapsiagaan anggota, mendengar isu serta cabaran yang dihadapi dan menyampaikan amanat serta hala tuju kepimpinan kontinjen Sarawak,” kata Zainal ketika berucap dalam lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan petang semalam.

Kehadiran CP Datuk Mohd Zainal Abdullah disambut Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Barry William, bersama Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Dr Daram Ruer serta pegawai kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkenaan.
Beliau turut menyampaikan bakul makanan kepada balu warga PDRM dan golongan asnaf sebelum sesi taklimat bermula.
Barry kemudian memberi taklimat mengenai perkembangan keselamatan dan jenayah semasa di kawasan pentadbiran IPD Padawan.
Oleh Connie Chieng




