KUCHING: Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mohd Zainal Abdullah, hari ini menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini.
Majlis menyaksikan SAC Lim San Aik menyerahkan tugas dan tanggungjawab kepada ACP Mohd Ishak Yaakob yang dilantik sebagai Pemangku Ketua JSJ Sarawak.
Mohd Zainal berkata pertukaran kepimpinan itu akan memastikan kesinambungan usaha jabatan berkenaan dalam memperkukuh kecekapan siasatan dan membanteras jenayah di negeri ini.
Beliau berkata JSJ Sarawak perlu terus melaksanakan tanggungjawab secara profesional, berintegriti dan berkesan demi menjaga keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.

“Kepimpinan yang kukuh dan berterusan penting bagi memastikan JSJ kekal berkesan dalam menangani kes jenayah serta mengekalkan keyakinan masyarakat,” katanya.
Lim akan memegang tanggungjawab baharu sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KJPJKK) Kontinjen Sabah.
Mohd Zainal turut merakamkan penghargaan kepada Lim atas dedikasi dan sumbangannya sepanjang menerajui JSJ Sarawak, selain mendoakan kejayaan beliau dalam tugasan baharu di Sabah.
Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak; Ketua Jabatan Pengurusan Sarawak, SAC Zulkipli Suhaili; Ketua Cawangan Khas Sarawak, SAC Mahbub Mustofa Norsalim; Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Sarawak, SAC Ku Mashariman Ku Mahmood; serta Komander Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Lim Bak Phai serta ketua-ketua jabatan dan pegawai kanan IPK Sarawak.
Oleh Connie Chieng




