
SIMANGGANG: Persatuan Sepak Takraw Bahagian Sri Aman (PESTASA) bakal menganjurkan kejohanan sepak takraw ‘Raja Libas’ sebelum sambutan Gawai Dayak tahun ini sebagai usaha memperkukuh pembangunan sukan berkenaan di peringkat negeri.
Presidennya, Awangku Hafizi Awang Azahari berkata, kejohanan tersebut dijangka menghimpunkan pasukan-pasukan elit dari seluruh Sarawak sekali gus menjadi platform persaingan berkualiti tinggi.
Menurut beliau, pihak PESTASA kini dalam perancangan rapi termasuk hebahan rasmi bagi memastikan kejohanan tersebut mendapat penyertaan meluas serta sambutan meriah.
“Yang pastinya kejohanan ini akan dianjurkan sebelum Gawai Dayak dan kita menjangkakan penyertaan pasukan terbaik dari seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa PESTASA bersama Exco serta barisan jurulatih di Medan Selera Awada, petang semalam.
Dalam perkembangan sama, Awangku Hafizi memaklumkan satu lagi kejohanan besar iaitu perebutan Piala Pekema 2026 anjuran Persatuan Sepak Takraw Sarawak turut dijangka berlangsung di Sri Aman tahun ini.
Katanya, penganjuran kejohanan-kejohanan berprestij tersebut diyakini mampu mengangkat lagi nama Sri Aman sebagai antara pusat perkembangan sepak takraw di Sarawak.
“Sebarang maklumat lanjut atau perubahan mengenai kejohanan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” jelasnya.
Sementara itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Abdul Karim Mohd Bakri atas pelantikan sebagai jurulatih Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSTDP).
Program pembangunan tersebut akan berpusat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persatuan Sepak Takraw Sarawak.
Awangku Hafizi menyifatkan peluang itu sebagai satu kelebihan besar kepada Sri Aman dalam melahirkan bakat baharu khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.
“Kita di PESTASA berasa bertuah dan akan memberi komitmen penuh untuk menjayakan program ini demi manfaat generasi muda,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa Tertinggi PESTASA serta barisan jurulatih atas komitmen dalam menjayakan Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026.
Menurutnya, kejayaan Kontinjen Barat muncul juara keseluruhan acara sepak takraw membuktikan usaha berterusan dalam pembangunan sukan tersebut membuahkan hasil.
Tambah beliau, beberapa lagi kejohanan sepak takraw telah dirancang untuk dilaksanakan di Sri Aman sebagai usaha berterusan memperkasa sukan itu di peringkat akar umbi.
Majlis berbuka puasa tersebut turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan, sekali gus memprlihatkan sokongan padu pelbagai pihak terhadap pembangunan sepak takraw di bahagian itu.
Oleh Adi Safarman