
SIBURAN: Pesta Sungai Kampung Simpok 2025 kembali berlangsung dengan penuh kemeriahan dan menampilkan keunikan budaya masyarakat Bidayuh Bisapug serta memperkukuh semangat perpaduan komuniti setempat.
Acara tahunan yang berlangsung di pekarangan Mini Waterfront, Kampung Simpok itu telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn hari ini.

Pesta yang menjadi simbol perpaduan dan warisan komuniti itu mula dianjurkan sejak 2017, namun terhenti sementara akibat pandemik COVID-19 sebelum disambung semula pada tahun 2022.
Penganjuran kali ini turut diserikan dengan penyampaian insentif pendidikan kepada 47 orang pelajar cemerlang dalam kalangan komuniti Bidayuh Bisapug yang telah mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Kejayaan anak-anak kita dalam bidang pendidikan adalah bukti kekuatan komuniti kita. Pesta seperti ini bukan sekadar hiburan, tetapi medan memperkukuh jati diri dan semangat untuk maju,” ujar beliau dalam ucapannya.
Kampung Simpok yang merupakan penempatan terbesar etnik Bidayuh Bisapug terbahagi kepada enam zon iaitu Kandis, Serui, Pedat, Regu, Tengah dan Tedontiang dengan setiap zon mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti, termasuk perarakan rakit berhias yang mencuri tumpuan pengunjung.
Menambahkan lagi kemeriahan pesta adalah penyertaan AirAsia Fun Team, dengan syarikat penerbangan itu turut menjadi rakan kolaborasi utama bagi penganjuran tahun ini.
Gerai jualan tempatan yang menawarkan produk kraftangan, makanan tradisional dan permainan rakyat turut menjadi daya tarikan, menjadikan Pesta Sungai Simpok bukan sahaja platform meraikan budaya, malah ruang menjana ekonomi komuniti setempat.
-UKAS