
LUNDU: Sematan sekali lagi bakal menjadi tumpuan apabila Pesta Sematan 2025 membuka tirainya dari 25 hingga 27 Julai ini, dengan mengetengahkan tema ‘Sematan Syurga Alam Semula Jadi’.
Pesta dwitahunan ini akan mengetengahkan keunikan alam semula jadi Sematan yang terkenal dengan flora dan fauna, pantai indah serta latar gunung-ganang yang memukau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan berkata, pesta kali ini menyaksikan pengisian menarik termasuklah pameran agensi kerajaan dan badan berkanun, termasuk dari Lembaga Koko, Lembaga Pengurusan Penyu, Jabatan Hutan Sarawak, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Jualan Rahmah, Yayasan Sarawak dan banyak lagi.
“Pertandingan dan aktiviti untuk semua peringkat umur seperti Pertunjukan Fesyen Kanak-Kanak, Pertandingan Mewarna, Pengucapan Berirama, Sukan Rakyat, Karaoke, Badminton dan Futsal dan E-Sukan (Mobile Legends).
“Selain itu, Pertandingan Joran Cabaran MySED, Pertandingan Bot Laju, Duathlon serta pertandingan tumpuan iaitu tarik tali yang merupakan acara paling dinanti-nantikan setiap kali pesta diadakan,” katanya dalam sidang media Pesta Sematan 2025 di Dewan Serbaguna Mahligai Gading Lundu hari ini.

Tambahnya, turut diadakan demonstrasi pembuatan coklat oleh Lembaga Koko dan Pertandingan memasak berasaskan ikan serta acara utama iaitu Konsert Rakyat pada malam 26 Julai yang bakal menggamatkan pentas Pesta Sematan dengan persembahan daripada artis terkenal tanah air iaitu Amelina, Rahmat Mega serta Eyqa Saiful, artis tempatan Sarawak yang semakin meningkat naik.
Azizul menambah, pesta kali ini menerima penyertaan daripada luar negara seperti China, Brunei, dan Indonesia serta negeri-negeri lain termasuk Melaka, Johor, Sabah dan Terengganu.
“Ini sekali gus memperkukuh potensi Pesta Sematan sebagai acara pelancongan bertaraf antarabangsa,” katanya.
Beliau turut mengajak orang ramai memanfaatkan pesta ini bukan sahaja untuk berhibur dan membeli-belah, tetapi juga mendapatkan maklumat serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh pelbagai agensi pempamer.
-UKAS