
SARIKEI: Pesta Sarikei 2025 merupakan sebuah platform yang lebih besar, lebih inklusif dan berimpak tinggi, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii.
Katanya, ia bukan sahaja menonjolkan keunikan hasil pertanian, malah turut memperkasa seni, budaya, warisan dan keusahawanan komuniti khususnya di Bahagian Sarikei.
“Pesta ini dahulunya dikenali sebagai Pesta Nanas dan Buah-buahan Sarikei yang sinonim dengan identiti agro Bahagian Sarikei merangkumi Daerah Sarikei, Meradong, Julau dan Pakan.
“Namun, seiring dengan perubahan masa dan kehendak semasa, pesta ini telah melalui satu proses transformasi dan evolusi yang sangat membanggakan, selaras dengan aspirasi untuk memartabatkan Sarikei sebagai hab pertanian moden dan destinasi pelancongan berasaskan komuniti,” katanya.


MERIAH…. Orang ramai hadir menyaksikan Kejohanan Perlumbaan Bot Berkuasa Tinggi Sarikei 2025 sempena Pesta Sarikei 2025 di tebingan Terminal Ekspres 1, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah merasmikan Pesta Sarikei 2025 bertempat di Terminal Ekspres 1, hari ini.
Katanya, slogan Pesta Sarikei 2025 iaitu Bersatu dalam Budaya, Kaya dengan Warisan amat bertepatan dan membawa mesej yang mendalam.
“Ia mengajak kita agar terus menghargai warisan, menjunjung kepelbagaian budaya dan memperkukuh perpaduan sebagai landasan membina masa depan yang harmoni dan mapan.


PERSAINGAN SENGIT… Persaingan sengit antara pelumba-pelumba bot yang mara ke separuh akhir kategori 50HP Tunnel Boat, Kumpulan 1.
“Saya percaya dan yakin bahawa penganjuran Pesta Sarikei 2025 ini bukan sahaja menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi tempatan, malah turut membina semangat kekitaan dalam kalangan komuniti, mencetuskan peluang baharu dan memperkukuhkan jati diri Bahagian Sarikei dalam landskap pembangunan Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, Tiong Sii menyumbangkan sebanyak RM20,000 bagi membantu kelangsungan program dan aktiviti di Pesta Sarikei 2025 yang telah dirancang.
“Saya percaya bahawa sumbangan ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin demi kejayaan pesta ini dan manfaat kepada seluruh masyarakat,” katanya lagi.
Turut hadir ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing; ADUN Meluan, Rolland Duat Jubin; Residen Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong; Jurutera Bahagian, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarikei, Ir. Ts. Kennedy Kedo dan Pengerusi Majlis Daerah Sarikei, Stephen Wong Kie Yong.
Oleh Earl Anek