
SIBU: Orang ramai dijemput memeriahkan Pesta Pulau Bruit 2025 yang akan diadakan di Kampung Semop, Pulau Bruit, dari 26 hingga 28 September ini.
Berkonsepkan Mini Agro Feast, pesta berkenaan dianjurkan oleh Pejabat Daerah Daro dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN N.42 Semop dan Pusat Khidmat P.206 Tanjung Manis.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, berkata program itu bertujuan mempromosikan keunikan warisan budaya, hasil pertanian, produk tempatan serta potensi pelancongan Pulau Bruit, di samping menjadi platform memupuk semangat kebersamaan masyarakat.
Menurutnya, pengisian awal pesta akan bermula sebelum tarikh rasmi melalui pelbagai program anjuran 13 penempatan kampung di seluruh Pulau Bruit.
“Antara aktiviti yang diadakan termasuk pertandingan sukan, kebudayaan, keagamaan dan keusahawanan yang dirancang bagi meningkatkan penglibatan komuniti setempat,” katanya pada mesyuarat penganjuran pesta itu, semalam.
Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata, Pesta Pulau Bruit 2025 turut menampilkan persembahan artis tempatan dan jemputan dari Semenanjung Malaysia, pameran produk komuniti, demonstrasi masakan tradisional, jualan makanan serta pelbagai aktiviti interaktif untuk semua lapisan masyarakat.
Beliau berkata, pihak penganjur menjangkakan kehadiran pengunjung dari dalam dan luar daerah yang mampu menyumbang kepada perkembangan sektor pelancongan dan ekonomi setempat.
“Orang ramai adalah dijemput hadir memeriahkan Pesta Pulau Bruit 2025 bagi merasai keunikan budaya, cita rasa tempatan dan keindahan Pulau Bruit,” ujarnya.
Oleh Akun Giman