KUCHING: Sambutan ulang tahun pertama rumah kelab Borneo Highlands Resort (BHRC) menarik sekitar 300 peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kaum setempat baru-baru ini.
Sambutan pesta berkhemah anjuran bersama BHRC dan Borneo Glamping yang berlangsung selama 3 hari 2 malam menyediakan pelbagai kemudahan penginapan kepada ahli dan tetamu yang menyertai aktiviti tersebut.
Pengerusi Kelab Borneo Highlands (BHRC), Lo Khere Chiang bertegas akan mempertahankan objektifnya untuk mempromosikan Borneo Highlands sebagai destinasi pelancongan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Borneo Highlands merupakan destinasi perkhemahan yang sangat sesuai kerana iklimnya yang sejuk, udara bersih yang segar, selamat dan persekitaran yang indah.
“BHRC yang didaftarkan di bawah pendaftar pertubuhan sekitar satu tahun yang lalu bertujuan menjaga hak kepentingan penduduk dan pemilik harta.
“Selepas pemaju menutup resort kira-kira tiga tahun lalu, penduduk berdepan masalah seperti bekalan air dan elektrik, penyelenggaraan jalan dan keselamatan kawasan kediaman.
“BHRC telah menangani pelbagai isu sejak dari tarikh penubuhannya dan berikhtiar memelihara hak penduduk,” jelasnya pada sambutan ulang tahun pertama BHRC di rumah kelab Borneo Highlands pada 1 Jun lalu.
Selain itu, kelab ini juga berperanan penting dalam memupuk hubungan antara agensi kerajaan dan penduduk.
Ujarnya lagi, ramai pembeli tanah yang berdaftar tidak diberikan hak milik tanah daripada pemaju yang tidak bertanggungjawab.
“BHRC sebagai sebuah badan kolektif akan dapat membantu menyediakan maklumat yang diperlukan dalam usaha untuk pemberian hak milik tanah,” katanya.
Pada masa sama, Lo turut memaklumkan sesiapa pembeli tanah berdaftar yang bukan ahli dan ingin menyertai Kelab boleh menghubungi Setiausaha Ar. Liew Nam Boon di talian 019-8864126 atau menerusi e-mel 2022bhrc@gmail.com.
Oleh Connie Chieng