PANTU: Penganjuran Pesta Pantu 2026 Edisi Ke-17 yang dijadualkan berlangsung bermula hari ini hingga 30 Ogos ini ditangguhkan berikutan keadaan jerebu yang tidak mengizinkan.
Pegawai Daerah Pantu, Raca Mulong berkata, keputusan tersebut dibuat dengan mengambil kira aspek keselamatan serta kesihatan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran dan kehadiran ke pesta berkenaan.
Menurutnya, keadaan jerebu ketika ini dilihat tidak sesuai untuk penganjuran program yang melibatkan orang ramai, khususnya aktiviti luar yang dirancang sepanjang pesta tersebut.
“Pesta Pantu 2026 Edisi Ke-17 ditangguhkan berikutan keadaan jerebu yang tidak mengizinkan serta demi menjaga keselamatan dan kesihatan semua pihak,” katanya dalam satu notis pemakluman, hari ini.
Beliau berkata, penangguhan itu merupakan langkah yang perlu bagi memastikan sebarang aktiviti yang melibatkan masyarakat dapat dilaksanakan dalam keadaan lebih selamat dan kondusif.
Pesta Pantu merupakan antara acara yang dinanti-nantikan masyarakat setempat, selain menjadi platform untuk menghimpunkan komuniti menerusi pelbagai aktiviti sosial, kebudayaan, sukan dan kemasyarakatan.
Bagaimanapun, tarikh baharu bagi penganjuran Pesta Pantu 2026 Edisi Ke-17 masih belum ditetapkan dan akan dimaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa.
Raca berkata, pihak penganjur memohon maaf atas segala kesulitan dan ketidakselesaan yang timbul susulan keputusan penangguhan berkenaan.
“Segala kerjasama, perhatian dan pemahaman daripada semua pihak amatlah dihargai,” katanya.
Orang ramai diminta mendapatkan maklumat terkini daripada pihak penganjur berhubung tarikh baharu Pesta Pantu 2026 bagi mengelakkan kekeliruan dan memastikan penyertaan dapat dirancang dengan sebaiknya.
Oleh Adi Safarman



