BINTANGOR: Pesta Meradong perlu terus diperkasakan sebagai platform ekonomi dan kebudayaan yang mampu meningkatkan pendapatan usahawan, mengetengahkan produk tempatan dan membuka ruang kepada bakat muda.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, potensi pesta tersebut perlu dikembangkan supaya manfaat penganjurannya dapat dirasai secara lebih meluas oleh masyarakat setempat.
“Maka, saya berharap Pesta Meradong akan terus dianjurkan dan diperkasakan pada tahun-tahun akan datang.
“Pesta ini bukan sahaja acara hiburan dan kebudayaan, tetapi saya yakin ia boleh berkembang sebagai satu platform yang dapat membantu meningkatkan pendapatan usahawan dan peniaga tempatan, mengetengahkan produk serta makanan tempatan dan memberi ruang kepada bakat-bakat muda,” katanya.
Huang yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian ketika merasmikan Pesta Meradong 2026, malam tadi.
Dalam aspek pembangunan, katanya, beberapa projek telah diluluskan dan sedang dilaksanakan bagi merancakkan lagi kemajuan Daerah Meradong, termasuk penambahbaikan kemudahan rumah ibadat.
“Untuk merancakkan lagi pembangunan di Daerah Meradong, saya dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa beberapa projek pembangunan telah diluluskan dan sedang dilaksanakan di kawasan ini.
“Sebagai wakil rakyat Parlimen Sarikei, saya sentiasa komited untuk memastikan keperluan rakyat di kawasan kita diberikan perhatian dan diperjuangkan kepada pihak yang berkaitan.
“Dengan hasil usaha dan perbincangan yang telah dibuat, saya telah berjaya mendapatkan penyaluran peruntukan bagi Projek Naik Taraf Masjid dan Surau bagi kawasan ini,” katanya.
Tambahnya, antara projek yang sedang dilaksanakan termasuklah menaik taraf Masjid Al-Muhajirin di Taman Bintang, Masjid Al-Falah di Sungai Gemuan dan Surau Darul Taqwa di Kampung Selemas.
“Saya berharap pelaksanaan projek-projek ini bukan sahaja dapat mempertingkatkan kemudahan dan keselesaan tempat ibadah, malah dapat menyediakan ruang yang lebih baik untuk masyarakat berkumpul, menjalankan aktiviti keagamaan serta memperkukuh hubungan silaturahim dalam komuniti,” katanya lagi.
Huang turut menekankan bahawa kemajuan Meradong memerlukan pembangunan fizikal dan sosial yang dirancang secara menyeluruh, selain kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat.

“Saya turut berharap agar segala usaha pembangunan fizikal dan sosial dapat dilaksanakan secara konsisten dengan perancangan yang teliti dan rapi.
“Kerjasama erat antara semua agensi kerajaan, sektor swasta serta masyarakat umum amat diperlukan bagi membawa Daerah Meradong ke arah yang lebih berdaya saing dan mampan.
“Sesungguhnya, jika Meradong membangun, Bahagian Sarikei turut sama bertambah maju dan makmur,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas perhatian yang diberikan terhadap keperluan pembangunan penduduk Meradong.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kerana sentiasa mengambil berat serta memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada keperluan rakyat, termasuk penduduk di Daerah Meradong.
“Komitmen beliau dalam memastikan pembangunan infrastruktur turut sampai ke daerah membuktikan bahawa kepimpinan Premier Sarawak benar-benar prihatin dan mengambil berat akan kebajikan rakyat di sini,” katanya.
Huang berkata, sokongan Premier Sarawak terhadap permohonan pembinaan stadium atau kompleks sukan bertutup untuk Bahagian Sarikei turut membawa harapan baharu terhadap penyediaan kemudahan yang mampu menampung penganjuran acara berskala besar pada masa depan.
“Sewaktu kunjungan Premier Sarawak ke Sarikei sempena Program Sarawakku Sayang baru-baru ini, beliau telah menyatakan sokongan padu terhadap permohonan pembinaan sebuah stadium atau kompleks sukan bertutup untuk Bahagian Sarikei.
“Sokongan ini juga selari dengan usaha berterusan kerajaan Sarawak dalam memperluas pembangunan infrastruktur awam di seluruh bahagian dan mencerminkan keprihatinan beliau, yang sudah pasti membawa harapan baru kepada rakyat Sarikei.
“Saya yakin bahawa pembinaan stadium ini bukan sahaja akan memenuhi keperluan asas, malah turut membolehkan rakyat Sarikei menganjur serta menampung program-program besar seperti Pesta Meradong pada masa hadapan,” katanya.
Di majlis sama, Huang turut menyumbangkan RM10,000 kepada Jawatankuasa Induk Pesta Meradong 2026 sebagai sokongan terhadap penganjuran pesta tersebut.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab; Residen Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong; Pegawai Daerah Meradong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Meradong 2026, Wee Teck Min dan Setiausaha Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), Lau Chi Sing.
Oleh Earl Anek





