Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Pesta Meradong bakal digegar dengan Perlumbaan Bot Laju Bintangor 2025
  • SEMASA

Pesta Meradong bakal digegar dengan Perlumbaan Bot Laju Bintangor 2025

Utusan Sarawak 15 hours ago
JADUAL PESTA MERADONG… Jadual acara dan pementasan sempena Pesta Meradong 2025.

BINTANGOR: Selepas setahun menyepi, bunyi deruman enjin bot laju bakal kembali memecah keheningan Sungai Rajang apabila Perlumbaan Bot Laju Bintangor 2025 atauBintangor Powerboat Race 2025 kembali menggegarkan pada 14 hingga 16 November ini sempena Pesta Meradong 2025.

Perlumbaan yang dinanti saban tahun ini terus menjadi tumpuan peminat sukan air dari seluruh Sarawak yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan kehebatan pelumba bot beraksi di antara arus dan percikan ombak sungai yang terkenal dengan cabarannya.

Acara selama tiga hari ini akan menampilkan pelbagai kategori yang menjanjikan saingan sengit.

Antara kategori yang akan dipertandingkan adalah 5HP Open Hull, 18HP dan Bellow Long Boat, 18HP dan Below Tunnel Boat, 30HP 2-Cylinder Tunnel Boat, 30HP 3-Cylinder Tunnel Boat, Formula 5 (50HP dan Bellow Tunnel Boat) dan Formula 3 (SST60).

GAMBAR FAIL… Aksi-aksi perlumbaan bot laju di Bintangor pada 2022.

Dijangka perlumbaan ini turut akan disertai oleh pelumba-pelumba dari luar negara.

Perlumbaan pada hari pertama dijadual bermula seawal 7.00 pagi hingga 5.00 petang, manakala hari kedua dan ketiga akan berlangsung dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang, memberi peluang kepada orang ramai menikmati aksi sepanjang hari di tebingan Sungai Rajang.

Pelbagai kelas dan kuasa enjin dipertandingkan, setiap kategori dijangka menampilkan kehebatan tersendiri dari deruan kecil yang lincah di permukaan air hingga gegaran bot berkuasa tinggi yang mampu memecah arus dengan kelajuan luar biasa.

Tebingan Sungai Rajang dijangka menjadi tumpuan ribuan penonton yang bakal memenuhi kawasan sepanjang sungai untuk menyaksikan perlumbaan yang penuh aksi dan warna.

Setiap awal pagi apabila bermulanya perlumbaan bot laju, lokasi ini lazimnya dipenuhi dengan suasana pesta yang meriah, lengkap dengan jualan makanan, minuman dan pelbagai aktiviti sampingan.

Kehadiran peminat dari pelbagai daerah juga memperlihatkan semangat kebersamaan masyarakat yang menjadikan perlumbaan bot laju sebagai satu warisan sukan air yang terus hidup dalam budaya tempatan.

GAMBAR FAIL… Aksi-aksi perlumbaan bot laju di Bintangor pada 2022.

Bagi para pelumba, acara ini bukan sekadar pertandingan tetapi medan untuk membuktikan ketangkasan dan keberanian mengemudi bot dalam keadaan sungai yang arusnya berubah-ubah.

Keupayaan membaca arus dan mengekalkan keseimbangan bot menjadi fokus setiap pelumba.

Setiap kali bot meluncur laju, sorakan penonton bergema di tebing sungai dan ia adalah suasana yang hanya dapat dirasai dalam perlumbaan seperti ini.

Bintangor sememangnya sinonim dengan tradisi sukan air yang menguji kecekapan dan semangat juang pelumba.

Selain daripada nilai hiburan dan persaingan, acara ini turut akan memberikan impak ekonomi kepada masyarakat setempat.

Para peniaga kecil, penjaja dan pengusaha gerai mengambil peluang menjual pelbagai produk tempatan sepanjang berlangsungnya Pesta Meradong 2025 yang kini pesta jualan telah bermula Sabtu lalu.

Sementara itu, acara-acara dan pementasan akan bemula pada 8 November hingga 16 November ini.

GAMBAR FAIL… Aksi-aksi perlumbaan bot laju di Bintangor pada 2022.

Pesta Meradong adalah platform terbaik memperkenalkan Bintangor sebagai destinasi pelancongan yang memiliki keunikan tersendiri dengan gabungan budaya, sukan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum.

Bagi penduduk Bintangor, kemunculan kembali Perlumbaan Bot Laju Bintangor 2025 selepas setahun menyepi menandakan kebangkitan semangat baharu untuk terus menghidupkan tradisi sukan air yang telah bertapak sejak dulu.

Bagi pengunjung luar, acara ini juga peluang menyaksikan sendiri bagaimana komuniti tempatan berganding bahu menjayakan pesta tahunan yang menjadi kebanggaan Daerah Meradong.

Sorotan utama pastinya detik penentuan juara apabila bot-bot laju bertarung dalam aksi akhir yang penuh debaran.

GAMBAR FAIL… Aksi-aksi perlumbaan bot laju di Bintangor pada 2022.

Aspek keselamatan turut akan menjadi keutamaan sepanjang perlumbaan.

Langkah keselamatan tersebut bukan sahaja melindungi peserta dan penonton tetapi juga memastikan kelancaran perjalanan acara utama ini berlangsung dalam suasana terkawal dan teratur.

Kembalinya Perlumbaan Bot Laju Bintangor 2025 bukan sekadar menyemarakkan Pesta Meradong 2025 tetapi menghidupkan semula semangat sukan air yang telah sebati dalam identiti Bintangor.

Deruman enjin bot laju di Sungai Rajang bukan hanya perlumbaan. Ia adalah simbol tenaga, kebersamaan dan semangat yang terus mengalir dalam denyut nadi masyarakat di Daerah Meradong.

Oleh Earl Anek

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Sultan Pahang, Tengku Ampuan Pahang akhiri lawatan rasmi empat hari di Sarawak
Next: Ribut petir, hujan lebat dijangka landa beberapa negeri termasuk Sarawak malam ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.