
KUCHING: Penganjuran Pesta Makanan SMK Bandar Kuching No. 1 2025 bukan sekadar aktiviti jualan semata-mata, sebaliknya merupakan inisiatif penting dalam menyokong pembangunan prasarana dan memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan warga sekolah dan komuniti.
Pengetua SMK Bandar Kuching No.1, Chew Kui Hock berkata, program yang berlangsung seawal 7.30 pagi itu merupakan hasil kerjasama erat antara pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam usaha mengumpul dana bagi membaik pulih dan menambah baik kemudahan sedia ada di sekolah tersebut.
“SMK Bandar Kuching No.1 yang kini berusia lebih 55 tahun berdepan cabaran kekurangan ruang infrastruktur, yang memberi kesan kepada kelancaran pelaksanaan aktiviti kokurikulum, perhimpunan dan pengajaran. Justeru, inisiatif seperti ini amat diperlukan,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa sekolah yang mempunyai seramai 1,001 pelajar kini sedang berusaha menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan efisien, termasuk merancang langkah-langkah penambahbaikan prasarana yang memberi manfaat jangka panjang kepada seluruh warga sekolah.
“Dengan sokongan padu daripada ibu bapa, komuniti dan pihak luar, saya yakin sekolah ini mampu menyediakan ruang pembelajaran yang lebih baik untuk generasi masa depan,” ujarnya.
Chew turut menzahirkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen atas kesudian merasmikan program serta sumbangan berterusan beliau dalam memperkasakan pembangunan pendidikan di sekolah berkenaan.
Oleh Shikin Mahmud