
MIRI: Malam Kebudayaan sempena Pesta Sukan dan Kebudayaan Persatuan Kenyah Badeng Sarawak (KEBANA) 2025 berjaya menghimpunkan ratusan komuniti Kenyah Badeng dari seluruh Sarawak dalam satu perayaan penuh warna-warni dan semangat perpaduan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri baru-baru ini.
Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang mewakili Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Kenyah Badeng Sarawak atas penganjuran pesta tahunan yang bukan sahaja memelihara warisan budaya, malah memperkukuh semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat.
“KEBANA ialah simbol kekuatan jati diri masyarakat Kenyah Badeng yang telah berjaya menyatukan komuniti dari seluruh pelosok negeri termasuk Miri, Sibu, Kuching dan Bintulu.
“Pesta ini juga cerminan pembangunan insan menyeluruh melalui gabungan sukan, budaya dan kerohanian,” katanya selepas merasmikan Malam Kebudayaan sempena Pesta Sukan dan Kebudayaan KEBANA 2025 di IKBN Miri baru-baru ini.
Ujarnya, KEBANA yang ditubuhkan secara rasmi pada 12 Januari 2004, dilihat sebagai rakan strategik kerajaan dalam usaha memperkasa masyarakat luar bandar menerusi pendekatan komuniti.
Beliau turut menyeru generasi muda agar terus aktif dalam persatuan sebagai kesinambungan perjuangan budaya dan identiti Kenyah Badeng.
Malam kebudayaan turut diserikan dengan pelbagai persembahan tradisional Kenyah Badeng dan mendapat sambutan hangat daripada para hadirin.
Pesta KEBANA 2025 berlangsung dari 31 Mei hingga 2 Jun, turut dimeriahkan dengan pertandingan sukan terbuka dan veteran (Leko Dadu’c), futsal wanita, badminton, bola tampar, kebaktian rohani dan anugerah pelajar cemerlang.
Pesta ini menjadi wadah untuk mengukuhkan silaturahim serta menyemarakkan rasa cinta terhadap warisan budaya yang terus dipertahankan oleh masyarakat Kenyah Badeng di Sarawak.
-UKAS