Pesta Kaul Oya platform perpaduan, lestari budaya generasi muda

Facebook
WhatsApp
PESTA KAUL OYA… Dato Sri Fatimah Abdullah bergambar bersama tetamu kehormat dan yang lain pada majlis perasmian Pesta Kaul Oya 2025 di Tapak Pesta Kaul Mukah hari ini. Foto UKAS

MUKAH: Pesta Kaul Oya tahun ini disambut dengan penuh kemeriahan melalui pelbagai aktiviti kebudayaan, sekali gus menjadi platform penting untuk menggesa generasi muda agar terus menghargai dan melestarikan tradisi Kaul sebagai simbol perpaduan, jati diri serta kecintaan terhadap budaya sendiri.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, menekankan bahawa nilai seperti semangat bersatu, amalan gotong-royong dan penghargaan terhadap budaya warisan perlu dipupuk secara berterusan dalam kalangan anak muda.

NIKMATI HIDANGAN… Dato Sri Fatimah Abdullah menikmati hidangan tradisional pada pada Pesta Kaul Oya 2025. Foto UKAS

“Semangat bersatu, gotong-royong, dan kecintaan kepada budaya sendiri adalah nilai yang perlu terus disemai. Inilah kekuatan sebenar komuniti kita,” ujar beliau ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Kaul Oya 2025 di Tapak Pesta Kaul Mukah hari ini.

Dalam masa yang sama, pesta tersebut turut mengetengahkan pelbagai projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan di kawasan Oya.

Antara usaha utama yang diumumkan termasuk pengawalan hakisan pantai serta pembangunan tapak Kaul sebagai destinasi pelancongan berasaskan budaya.

SAMPAIKAN AMANAT… Dato Sri Fatimah Abdullah menyampaikan ucapan. Foto UKAS

Projek besar lain yang diumumkan termasuk pembangunan semula infrastruktur kawasan pantai, pembinaan laluan pejalan kaki, glamping site, gelanggang sukan pantai serta tapak jualan berkonsepkan alfresco dining.

Pesta Kaul Oya terus menjadi simbol warisan budaya yang hidup dan signifikan, menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana penuh adat, tradisi dan kebanggaan sebagai rakyat Sarawak.

Turut hadir Datu Dr Adi Badiozaman, Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh, Pegawai Daerah Dalat Mathew Hubert, Pengerusi Jawatankuasa Pesta Kaul Oya Penghulu Pawi Ramli serta Ketua-ketua Jabatan, Masyarakat dan Kaum. –  UKAS