ASAJAYA: Pesta Jagung Kampung Rebak 2026 yang dianjurkan buat julung kalinya berpotensi menjadi produk agropelancongan baharu di Bahagian Samarahan menerusi usaha mempromosikan hasil pertanian tempatan, sekali gus memperkukuh perpaduan masyarakat serta merancakkan ekonomi komuniti.
Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Abang Ismawi Abang Ali berkata, penganjuran pesta itu merupakan hasil kerjasama antara MPKS dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Rebak menerusi program pembangunan komuniti MPKS.
Menurutnya, inisiatif tersebut bukan sahaja mampu meningkatkan kesejahteraan penduduk, malah membuka peluang kepada usahawan tempatan menjana pendapatan melalui promosi hasil pertanian, khususnya tanaman jagung yang mempunyai nilai ekonomi tinggi di kawasan berkenaan.
“Pesta ini diadakan bagi mempromosikan potensi pertanian tempatan, di samping memperkukuh semangat kebersamaan dan memperkasakan ekonomi komuniti menerusi pelbagai aktiviti yang melibatkan penyertaan penduduk setempat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Jagung Kampung Rebak 2026 di Dewan Kampung Rebak, di sini, hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Sepanjang penganjuran pesta itu, pelbagai aktiviti disediakan kepada pengunjung termasuk jualan jagung secara besar-besaran, pertandingan masakan berasaskan jagung, pertandingan makan jagung, pertandingan inovasi dan gubahan kreatif berasaskan jagung, pertandingan mewarna kanak-kanak serta aktiviti memetik jagung.
Aktiviti memetik jagung menjadi antara tarikan utama apabila pengunjung berpeluang memetik sendiri jagung segar di kebun pada harga subsidi RM1 setongkol, sekali gus memberikan pengalaman menarik kepada orang ramai selain mempromosikan sektor agropelancongan.
Abang Ismawi turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak atas sokongan berterusan dalam menjayakan pelbagai program komuniti di bawah MPKS.
Katanya, kementerian berkenaan sebelum ini turut menyokong penganjuran beberapa program seperti Pesta Ambal Masyarakat, Pesta Terubuk dan Festival Makanan dan Kebudayaan Samarahan (SFCF). Selain itu, Kota Samarahan juga bakal menjadi tuan rumah program Jom Heboh yang dijadualkan berlangsung pada 31 Julai hingga 2 Ogos depan.
Beliau berharap Pesta Jagung Kampung Rebak dapat diteruskan sebagai acara tahunan berikutan sambutan yang diterima amat menggalakkan, selain berpotensi muncul sebagai salah satu produk pelancongan komuniti baharu di Bahagian Samarahan.
Pesta itu turut dimeriahkan dengan pameran daripada Jabatan Pertanian Malaysia dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang mempamerkan pelbagai teknologi, produk serta maklumat berkaitan industri agromakanan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap potensi sektor pertanian.



