
LIMBANG: Pesta Hari Bukit Mas yang kini memasuki edisi ke-18 telah disenaraikan dalam Kalendar Pelancongan Negeri mampu mengukuhkan sektor pelancongan dan sosioekonomi di Limbang.
Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal berkata berkata acara itu membantu mencapai sasaran kerajaan Sarawak dengan menarik lebih ramai pelancong memasuki daerah ini.
“Dari sudut pelancongan dan ekonomi, dengan penganjuran program seperti ini dapat membantu sarawak memperkukuh industri pelancongan dan meningkatkan lagi ekonomi Sarawak khasnya Daerah Limbang.
“Kerajaan Sarawak menyasarkan lima juta kedatangan pelancong bagi 2025 sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh industri pelancongan di negeri ini,” katanya ketika berucap pada Pertandingan Mr Wonderful sempena Pesta Hari Bukit Mas 2025 di kawasan Parkir Lot 777, Limbang malam tadi.

Beliau berkata program anjuran Majlis Daerah Limbang (MDL) menyasarkan kehadiran 60,000 pengunjung sepanjang lima hari diadakan sejak Rabu lepas dan berakhir esok.
Katanya, pesta ini memberi manfaaf kepada peniaga kecil, usahawan tempatan dan seluruh komuniti perniagaan di daerah ini.
MDL jelasnya turut menganggarkan kira-kira RM725,000 pendapatan terkumpul daripada usahawan tempatan dan luar yang menyertai gerai jualan.
Pada masa sama, pesta ini juga mampu mendidik pengunjung dalam memastikan kempen yang dianjurkan iaitu pesta tanpa sampah berjaya dilaksanakan dalam usaha menjaga kelestarian alam sekitar.
Oleh Adeng Edrus