Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Pesta Buah Durian Kampung Sadir tarik pengunjung, durian organik jadi tumpuan
  • TEMPATAN

Pesta Buah Durian Kampung Sadir tarik pengunjung, durian organik jadi tumpuan

Utusan Sarawak 13 hours ago
BUAH durian organik Kampung Sadir, Padawan yang menjadi tarikan pengunjung ke Pesta Buah Durian tahun ini. Foto Levrone Aigle 

PADAWAN: Kampung Sadir sekali lagi mencuri tumpuan apabila menganjurkan Pesta Buah Durian edisi ketiga tahun ini, dengan lebih 1,000 biji durian organik disediakan untuk dinikmati pengunjung yang hadir ke kampung tersebut.

Ketua Kampung Sadir, Bobyham William berkata, sambutan pengunjung pada penganjuran kali ini adalah lebih menggalakkan berbanding tahun-tahun sebelumnya, sekali gus membuktikan pesta tahunan itu semakin mendapat perhatian orang ramai dan berjaya menarik kehadiran pengunjung dari pelbagai latar belakang.

“Jumlah pengunjung pada tahun ini lebih ramai berbanding tahun lepas dan edisi-edisi sebelumnya, dan ini menunjukkan pesta durian Kampung Sadir semakin diterima serta dinanti-nantikan oleh masyarakat,” katanya ketika ditemui media pada pesta tersebut.

Menurutnya, selain buah durian yang disumbangkan oleh penduduk kampung, lebih 2,000 durian turut dijual sepanjang pesta tersebut, sekali gus memberi peluang kepada penduduk setempat menjana pendapatan tambahan melalui hasil kampung mereka.

KETUA Kampung Sadir, Bobyham William, ketika ditemui media pada Pesta Buah Durian, di Kampung Sadir, hari ini. Foto Adele Rissa 

Tambahnya, Kampung Sadir kini turut memainkan peranan penting dalam pembangunan Sarawak Delta Geopark apabila sungai Kampung Sadir telah diangkat sebagai kawasan geopark bermula 22 Disember lepas hingga 31 Disember 2027.

“Ini merupakan satu elemen penting kepada Sarawak Delta Geopark kerana antara komponen utama yang diketengahkan ialah budaya dan makanan tempatan. Kampung Sadir memang terkenal dengan buah duriannya yang mempunyai rasa unik dan berbeza berbanding durian kampung lain,” jelasnya.

Menurut Bobyham, keunikan rasa durian Kampung Sadir adalah hasil penanaman secara semula jadi tanpa penggunaan baja kimia dan racun serangga, menjadikannya 100 peratus organik dan ditanam di kawasan kaki gunung.

Bagaimanapun, beliau berkata cabaran utama penduduk kampung adalah jarak yang jauh untuk mendapatkan hasil durian, apabila mereka perlu berjalan kira-kira satu setengah jam dari kaki gunung untuk membawa pulang durian tersebut.

“Penduduk kampung, termasuk golongan warga emas dan kanak-kanak, terpaksa memikul durian dari kawasan bukit yang agak jauh. Ada yang hanya mampu membawa sekitar 20 hingga 25 biji durian sahaja dalam satu perjalanan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata jumlah gerai yang dibuka pada pesta kali ini juga meningkat berbanding tahun lalu, dengan jualan bermula seawal 8.00 pagi dan mendapat sambutan awal daripada pengunjung pelbagai kaum.

“Pada tahun lalu, kita mengalami kekurangan bekalan durian. Namun tahun ini, hasil lebih memuaskan dan kebanyakan peniaga berpuas hati dengan jualan yang diperoleh,” katanya.

Beliau turut berharap penganjuran pesta seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha memperkasakan ekonomi komuniti setempat serta mempromosikan Kampung Sadir sebagai destinasi agropelancongan berpotensi di Daerah Padawan.

Oleh Adele Rissa 

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Banjir di Sarawak pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup
Next: Projek jalan baharu bakal jadikan Kampung Sadir tumpuan pelancong

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.