
DALAT: Dua acara besar bakal menghiasi Daerah Dalat pada 31 Oktober 2025 apabila Pesta Besaug Dalat Edisi Ke-8 dan majlis perasmian Kampus Baharu Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Dalat berlangsung serentak.
Bagi memastikan kelancaran penganjuran, satu mesyuarat telah diadakan hari ini di Bilik Mesyuarat Kompleks Kebajikan Dalat yang dipengerusikan oleh Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Selain bermesyuarat, Dato Sri Fatimah turut mengadakan lawatan ke CENTEXS Dalat.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual hadir bagi merasmikan Pesta Besaug Dalat yang bertemakan ‘Jeulo Jenaseng’ atau ‘Sehati Sejiwa’ pada 31 Oktober, pada 3.00 petang di Waterfront Dalat.
Pesta ini akan berlangsung sehingga 2 November 2025 dengan pengisian acara menarik termasuk pertandingan bot laju dan perahu bidar yang sentiasa menjadi tumpuan pengunjung.
Pada hari yang sama, Abang Johari turut akan merasmikan Kampus Baharu CENTEXS Dalat yang diwujudkan bagi memperkukuh pembangunan modal insan, menyediakan pelbagai program latihan kemahiran teknikal serta membuka peluang pendidikan kepada masyarakat sekitar Dalat, Matu, Daro, Sibu dan Kapit.
CENTEXS Dalat menawarkan 14 program latihan yang merangkumi pelbagai bidang termasuk Sijil Latihan Penjagaan Warga Emas (TREC), Sijil Asas Masakan Komersial (Pengiktirafan dalam Masakan Warisan Sarawak Asas), Sijil Profesional dalam Teknologi Fesyen (Asas), Teknologi Kimpalan (3G Plus), Juruteknik Pendawaian Plus, Sijil Asas dan lain-lain.
Dengan penganjuran Pesta Besaug dan penubuhan Kampus Baharu CENTEXS Dalat, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak dalam memperkasakan budaya tempatan serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi demi kesejahteraan rakyat.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Sarawak Dato Syed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman dan Timbalan Residen Bahagian Mukah Shafrie Saili. -UKAS