
SIMANGGANG: Penganjuran Pesta Benak di Sungai Batang Lupar terus menjadi pemacu ekonomi tempatan dan platform penting dalam meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata sejak mula diperkenalkan pada 1999, jumlah pengunjung yang hadir menyaksikan pesta tersebut meningkat dari tahun ke tahun sehingga menjadikannya antara acara paling popular di Sarawak.
“Fenomena benak di Batang Lupar ini adalah antara yang paling menarik dan salah satu daripada 60 kejadian (lokasi) benak di seluruh dunia dan telah berjaya menempatkan nama Sri Aman di persada antarabangsa.
“Keunikan inilah yang mengangkat Sri Aman dengan jolokan ‘Bandar Benak Malaysia’,” katanya ketika merasmikan Prapelancaran Pesta Benak Edisi ke-22 di Tebingan Sri Aman, hari ini.

Beliau menambah, Pesta Benak kini diwartakan dalam Kalendar Pelancongan Negeri Sarawak dan merupakan acara tahunan ikonik bagi Bahagian Sri Aman. Namun, tarikh penganjuran tidak tetap kerana bergantung kepada fenomena pasang besar atau ‘king tide’.
“Selain menjadi produk ekopelancongan ikonik negeri, pesta ini juga menjadi platform penyatuan masyarakat tanpa mengira kaum, agama atau bangsa serta memberi impak ekonomi kepada penduduk tempatan,” ujarnya.
Pelbagai inisiatif turut dilaksanakan untuk mempromosikan pesta ini termasuk melalui media sosial, televisyen dan radio bagi menarik lebih ramai pelancong dalam serta luar negara.

Hampir tiga dekad penganjurannya, Dayang Noorazah menambah Pesta Benak berjaya menjadikan Bandar Simanggang semakin dikenali sebagai destinasi pelancongan utama di Sarawak.
Dalam pada itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan hadir melakukan perasmian Pesta Benak Edisi ke-22 di Tebingan Sri Aman, esok pada 10.30 pagi.
Turut hadir, Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh; Timbalan Residen, Charlie Keling; Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang; Pengerusi MAIS Daerah Sri Aman, Kaunselor Anthony Abell Chendan serta Ketua Masyarakat dan Ketua KAUM (KMKK) dan agensi kerajaan.
Oleh Adi Safarman