
SIMANGGANG: Pasukan Mahkota Dewa Gedong membuktikan kehebatan apabila muncul juara acara ‘Unlimited Marathon’ bidar 30 pekayuh dalam Regata Benak Batang Lupar sempena Pesta Benak 2025, dekat sini pagi tadi.
Perahu milik Kamis Hanis itu menamatkan saingan dengan catatan masa 16.26 minit, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 piala juara dan piala iringan.

Tempat kedua dengan catatan masa 16.36 minit menjadi milik pasukan Barracuda dengan hadiah RM2,400, manakala Bujang Sigat (16.47 minit) di tempat ketiga meraih RM1,800.
Pasukan Landas Azam Kasihnya Warisan (17.01 minit) pula berada di kedudukan keempat dengan RM1,200, diikuti Todak Berjaya (17.02 minit) yang membawa pulang RM600.

Kesemua hadiah pemenang telah disampaikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Hari kedua menyaksikan 10 acara berlangsung termasuk kategori bidar 10, 20, 25, 30 dan tumpuan utama ‘Unlimited Marathon’ Bidar 30.

Secara keseluruhan, 22 pasukan bertarung merebut gelaran paling berprestij, ‘Raja Sungai’ yang menawarkan hadiah utama bernilai RM25,000.
Siapakah bakal ditabalkan ‘Raja Sungai’ edisi ke-22 ini? Segala debaran akan terjawab pada acara kemuncak esok 3.30 petang.
Dalam pada itu, Majlis penutupan Pesta Benak 2025 akan dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Pentas Utama Tebingan Sri Aman pada 2.00 petang esok.
Oleh Adi Safarman