Kata orang, raya biar sebulan! Maka selagi Syawal masih ada, selama itulah masih ada kesempatan untuk beraya.
Bagi para pelajar Kelas Pendidikan Literasi Fungsian (PLF) Kampung Pemindahan Marudi dan Rumah Michael Salengkor Sungai Brit, Majlis Ramah Tamah dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan baru-baru ini merupakan kesempatan untuk mereka beraya bersama rakan sekelas bagi mengeratkan lagi hubungan yang telah terjalin sekian lama.
Menurut penyelaras kelas-kelas ini, Cikgu Rita Sultan Abdullah, para pelajar memberikan kerjasama yang baik dengan menyediakan pelbagai hidangan memandangkan majlis dijayakan dengan konsep ‘potluck’.
Justeru mereka hadir ke kelas dengan menu masing-masing serta lengkap berpakaian raya bagi menyeri dan memeriahkan suasana.
“Selain berpeluang menjamu selera, secara tidak langsung majlis ini dapat mengukuhkan semangat dan kekeluargaan di antara para peserta serta guru,” kata Cikgu Rita.
Kesempatan yang sama juga dimanfaatkan untuk saling bermaaf-maafan bagi mengukuhkan lagi persahabatan sesama pelajar.
Sementara itu, bagi para pelajar kelas PLF Rumah Michael Salengkor Sungai Brit yang rata-ratanya berbangsa Iban, meskipun ini bukan perayaan mereka tetapi tidak ketinggalan untuk turut meraikan sambutan Hari Raya ini di kelas masing-masing.
Malah setiap peserta turut menyiapkan hidangan masing-masing untuk jamuan sesama sendiri bagi memberi sokongan kepada program ini.
“Walaupun bukan perayaan mereka tetapi para peserta ini menunjukkan semangat perpaduan yang tinggi untuk menjayakan program ini,”kata Cikgu Rita.
Sementara itu, kelas PLF dikelolakan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bagi memberi peluang kepada golongan dewasa, belia dan beliawanis serta remaja yang tercicir persekolahan untuk menjadi celik huruf dan celik angka.
Peserta kelas ini terdiri dari mereka pernah bersekolah tetapi tidak menamatkan sesi persekolahan atau tidak pernah ke sekolah langsung dan peluang juga diberikan kepada golongan yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri seperti tiada sijil lahir dan tiada kad pengenalan .
Had umur adalah dari tujuh tahun sehingga 60 tahun tetapi tertakluk kepada daya penglihatan atau kemampuan peserta sendiri. Kelas untuk setiap pelajar diadakan selama tiga jam, sehari dalam seminggu dan tunjang utama kelas ialah Membaca, Menulis dan Mengira (3M).
Selain itu, skop wajib diajar ialah aspek Kesihatan, Kesedaran Sivik, Ekonomi, Perlembagaan dan Kekeluargaan.
Oleh HAINI DARANI