
THAILAND: Seorang peserta Miss Universe terpaksa dibawa keluar menggunakan pengusung selepas terjatuh dari pentas semasa pusingan gaun malam preliminari semalam.
Dalam video yang tular di media sosial, Gabrielle Henry dari Jamaica dilihat melangkah di pentas dengan gaun malam oren dan kasut tumit tinggi sebelum tersalah langkah dan jatuh sepenuhnya dari pentas.
Video lain menunjukkan Henry dibawa keluar dari ruang pertandingan menggunakan pengusung.
Pemilik pertandingan Miss Universe, Raul Rocha, berkongsi perkembangan mengenai keadaan Henry melalui Instagram.
Beliau menulis pada 12.00 pagi waktu Bangkok, beliau baharu meninggalkan hospital tempat Henry dirawat.
“Saya berada di sana bersama keluarganya, dan syukurlah tiada tulang yang patah serta beliau mendapat penjagaan yang baik,” katanya.
Organisasi Miss Universe Jamaica juga mengeluarkan kenyataan rasmi, memaklumkan bahawa Gabrielle Henry, Miss Universe Jamaica 2025, terjatuh dari pentas utama semasa pusingan gaun malam preliminari menjelang Final Miss Universe hujung minggu ini di Thailand.
Henry telah dikejarkan ke Hospital Paolo Rangsit, yang mana para profesional perubatan memberikan rawatan dan memaklumkan bahawa beliau tidak mengalami kecederaan yang mengancam nyawa, namun ujian lanjut dijalankan untuk memastikan pemulihan sepenuhnya.
Sebelum insiden, Henry berkongsi beberapa video di Instagram Stories mengenai perjalanan ke pertandingan menaiki bas serta persiapannya sebelum naik ke pentas.
Pusingan semalam menampilkan pertandingan pakaian renang, kostum kebangsaan dan gaun malam.
Dalam bahagian kostum kebangsaan, Miss Great Britain, Danielle Latimer, yang memakai kostum diinspirasikan oleh Eliza Doolittle dari filem My Fair Lady (1964), turut dilihat terjatuh dalam satu video.
– AGENSI