

BINTULU: Semangat menimba ilmu dan keinginan menambah pendapatan mendorong peserta dari pelbagai kawasan luar bandar hadir menyertai Kursus Penanaman Cendawan Tiram anjuran Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) di Wisma Kontena, Pelabuhan Bintulu semalam.
Peserta Ernie Taja, 50, dari Rumah Badeng, Data Kakus, Tatau, sanggup menempuh perjalanan lebih empat jam untuk mengikuti kursus berkenaan kerana tertarik dengan peluang mempelajari tanaman baharu yang berpotensi menjana pendapatan tambahan.

“Saya datang dari jauh (Data Kakus) yang mengambil masa empat jam lebih untuk sampai ke sini. Saya memang berminat nak belajar, lagi-lagi bila kursus ni percuma.
“Ini kali pertama saya belajar tanam cendawan, nampak agak susah tapi dengan bimbingan dan sokongan yang ada, saya yakin boleh buat,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan program tersebut.
Turut berkongsi pengalaman, Halimah Yahya, 66, dari RPR Sebiew, yang menyifatkan penanaman cendawan tiram sebagai peluang baharu untuk koperasi yang dianggotainya meneroka sektor pertanian ringan dan tidak membebankan.
“Kami sebelum ini ada projek cili fertigasi dan sayur hidroponik.
“Lepas ini kami akan cuba tanam cendawan pula sebab cara penanamannya tak begitu berat dan sesuai untuk ahli kami yang dah berusia,” jelasnya.
Sementara itu, Mohammad Mahadi, 63 berkata, penyertaan dalam kursus tersebut memberi keyakinan kepadanya untuk mencuba bidang pertanian walaupun belum berpengalaman.

“Setakat ini, saya belum menanam apa-apa tanaman tapi teringin untuk mencuba pada masa hadapan dan salah satunya yang terlintas di fikiran adalah penanaman cendawan.
“Kalau nanti ada masalah, kami boleh rujuk semula pada tenaga pengajar dan itu yang bagus dengan program macam ni,” ujarnya.
Program yang disertai kira-kira 50 peserta dari seluruh Bahagian Bintulu itu merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bintulu Port Holdings Berhad untuk memperkasa komuniti luar bandar melalui latihan dan bimbingan dalam bidang pertanian moden.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee, yang turut menggesa peserta agar terus memanfaatkan ilmu dipelajari dan berani berinovasi dalam penghasilan produk berasaskan cendawan tiram.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif BPHB, Dato’ Ruslan Abdul Ghani, dan Pengurus Kanan Perkhidmatan Korporat Kumpulan BPHB, Maslihah Tioh.
Oleh Carolyne Utih
