
BINTULU: Peserta Kursus Penanaman Cendawan Tiram digesa memanfaatkan sepenuhnya ilmu dan kemahiran yang diperoleh bagi menjana pendapatan baharu serta meningkatkan daya saing dalam bidang pertanian komuniti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, program anjuran Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) itu bukan sahaja memberi pendedahan asas penanaman, tetapi juga membuka ruang kepada peserta untuk berinovasi dan menambah nilai terhadap produk berasaskan cendawan tiram.
“Kita mahu peserta berfikir secara kreatif dan keluar daripada zon selesa.
“Cendawan tiram tidak hanya dijual segar, tetapi boleh dijadikan pelbagai produk baharu seperti makanan sedia saji, sos atau pastri berperisa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Kursus Penanaman Cendawan Tiram di Wisma Kontena, Bintulu Port di sini, hari ini.

Menurut Iskandar, program seumpama itu menjadi landasan penting bagi membina usahawan tani baharu di kawasan luar bandar, selain memperkukuh semangat berdikari dalam kalangan masyarakat.
“Dengan bimbingan dan sokongan berterusan daripada pihak korporat seperti BPHB, peserta mampu mengembangkan potensi hasil pertanian mereka ke tahap komersial,” katanya.
Kursus tersebut disertai kira-kira 50 peserta dari seluruh Bahagian Bintulu, melibatkan pelbagai latar belakang termasuk suri rumah yang berminat menjadikan penanaman cendawan sebagai sumber pendapatan baharu.
Sementara itu, Pengurus Kanan Perkhidmatan Korporat Kumpulan BPHB, Maslihah Tioh berkata, program berkenaan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat bagi memperkasa komuniti dengan kemahiran dan ilmu praktikal.
“Selain latihan asas, peserta turut dibekalkan bongkah benih cendawan untuk dibawa pulang dan digalakkan meneruskan usaha di rumah.

“Kami mahu mereka menjadikan kemahiran ini sebagai sumber pendapatan tambahan dan mengaplikasikan ilmu yang dipelajari secara berterusan,” katanya.
Maslihah berkata, BPHB komited menyediakan sokongan susulan termasuk bimbingan penjenamaan dan pemasaran bagi membantu peserta menembusi pasaran tempatan dengan lebih efektif.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif BPHB, Dato’ Ruslan Abdul Ghani; Penghulu Chabi Nanggup; Ketua Kaum Kampung Baru Laut, Sikong Lusek dan Ketua Kaum Kampung Baru Tengah, Awangku Albar Awang Salleh.
Oleh Carolyne Utih